KUALA LUMPUR: Kenaikan kos insurans kesihatan sehingga 20 peratus setahun semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan beban kewangan rakyat terus meningkat.
Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI), Tan Sri Michael Yeoh berkata, peningkatan itu lebih ketara berbanding kenaikan caj sektor penjagaan kesihatan swasta yang berlaku dari tahun ke tahun.
Menurutnya, isu berkenaan bukan sahaja memberi tekanan kepada pesakit dan orang awam, malah turut menambah beban kerajaan dari segi peruntukan kesihatan.
“Peningkatan kos penjagaan kesihatan adalah satu kebimbangan kepada hampir semua pihak. Bagi kerajaan, ia memberi tekanan dan batasan kepada bajet, tetapi ia juga menjadi kebimbangan kepada pesakit dan orang awam.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah kos insurans nampaknya terus meningkat setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Kesihatan Malaysia 2026 di sini, semalam.
Michael berkata, walaupun kenaikan caj sektor penjagaan kesihatan swasta tidak semestinya besar setiap tahun, peningkatan kos insurans antara 15 hingga 20 peratus setahun merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian.
Katanya, usaha ketika ini seharusnya lebih tertumpu kepada mengawal kenaikan kos, berbanding cuba mengurangkannya kerana langkah berkenaan mungkin sukar dilaksanakan.
“Sukar untuk mengurangkannya. Saya fikir perkara lebih penting adalah bagaimana kita boleh mengawal kos supaya ia tidak terus meningkat setiap tahun.
“Kenaikan caj sektor penjagaan kesihatan swasta dari tahun ke tahun tidak semestinya terlalu besar, namun peningkatan ketara dapat dilihat dalam kos insurans,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan cadangan kerajaan menyediakan alternatif dalam aspek insurans sebagai langkah positif bagi menangani tekanan kenaikan kos berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, usaha mengawal kos penjagaan kesihatan tidak boleh dipikul kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama lebih kukuh antara hospital swasta, syarikat farmasi dan pihak berkepentingan lain.
Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi mencari kaedah mengawal kos keseluruhan penjagaan kesihatan, termasuk harga ubat-ubatan.
Sementara itu, Michael berkata, Malaysia juga perlu bersedia menghadapi perubahan demografi apabila jumlah penduduk warga emas terus meningkat.
Jelasnya, pertambahan golongan itu bukan sahaja menimbulkan cabaran kepada sistem penjagaan kesihatan dan keperluan tenaga penjaga, malah membuka peluang kepada perkembangan sektor penjagaan warga emas.
“Saya fikir masyarakat menua adalah satu cabaran dan juga peluang. Ia menjadi cabaran kerana kita memerlukan lebih ramai penjaga dan perlu menyediakan lebih banyak sokongan.
“Pada masa sama, ia turut membuka peluang kepada pusat penjagaan warga emas serta pihak lain yang boleh memainkan peranan membantu menjaga golongan berkenaan,” katanya. – UTUSAN










