Perdim cadang kerajaan perluas sistem insurans kesihatan

Perdim cadang kerajaan perluas sistem insurans kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan sistem insurans kesihatan untuk umum terutama yang melibatkan golongan M40, T20 dengan memotong beberapa peratus gaji mereka bagi menanggung kos rawatan kesihatan.

Ini kerana, bajet Skim Perubatan MADANI telah membelanjakan sebanyak RM300 juta dan melibatkan hampir 60 peratus sahaja klinik swasta yang hampir habis dalam masa tiga hingga empat bulan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, kewujudan skim perubatan ini perlu diperhalusi tata kelolanya supaya ia dapat berfungsi memberikan khidmat kesihatan untuk semua pemegangnya.

“Kementerian Kesihatan perlu memperhalusi tata kelola dan prosedur implementasi yang jelas di peringkat pelaksanaan di lapangan. Tata kelola yang tidak efisien boleh mengakibatkan skim insurans ini gagal.

“Sistem kesihatan di Malaysia bukan satu sistem yang boleh diuji sewenang-wenangnya kerana jika sistem kesihatan di Malaysia runtuh, akan mengakibatkan huru hara kesihatan seperti zaman Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hampir 80 peratus atau kira-kira 27 juta rakyat Malaysia mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekali gus menyebabkan bebanan tugas petugas kesihatan meningkat, apatah lagi penghijrahan beramai-ramai doktor ke luar negara dan fasiliti swasta.

Walaupun kerajaan berusaha untuk menambah petugas kesihatan, usaha itu mengambil masa panjang dan bergantung kepada kedudukan kewangan kerana perlu menanggung gaji doktor sedangkan caj mendapatkan rawatan di klinik kerajaan masih serendah RM1.

Namun, Dr. Boi Saidi berkata, tidak semestinya insurans kesihatan dapat mengurangkan perbelanjaan Kementerian Kesihatan kerana skim insurans ini kadangkala boleh memberi akibat yang sebaliknya.

“Sebaiknya kerajaan jangan terburu-buru dalam memperkenalkan skim insurans untuk semua rakyat seandainya bajet tahunan kesihatan atau ‘Good Distribution Practice’ Kementerian Kesihatan masih dlm angka 3.5 peratus.

“Apabila mereformasi sistem kesihatan ini, selalunya memerlukan 10 tahun lamanya untuk mencapai status stabil dan perkara ini perlu menjadi perhatian khusus kerajaan Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN