KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneroka fleksibiliti lebih besar bagi institusi kewangan untuk mengambil risiko lebih tinggi secara bertanggungjawab dalam menyokong peralihan tenaga negara.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat itu sedang meneliti bagaimana peraturan dan penyeliaan boleh diselaraskan dengan lebih baik bagi menyokong peralihan tenaga sebagai sebahagian daripada strateginya ke arah 2030.
“Kita sedang mempertimbangkan ruang untuk institusi kewangan mengambil risiko lebih tinggi, sudah tentu secara bertanggungjawab,” katanya dalam ucapan khas pada Persidangan JC3 Journey to Zero 2026, di sini semalam.
Beliau berkata, bagaimanapun risiko berkenaan perlu difahami, dinilai dan diurus dengan sewajarnya dalam lingkungan selera risiko yang boleh diterima.
Katanya, terdapat keperluan untuk membangunkan lebih banyak projek tenaga hijau pada masa depan, sambil menegaskan komitmen BNM untuk memudah cara usaha berkenaan.
“Ketersediaan modal bukan cabaran utama, sebaliknya memastikan modal berkenaan disalurkan kepada projek yang berdaya dipercayai dan berdaya labur pada skala serta kadar yang mencukupi.
“Dalam banyak keadaan, kekangannya ialah pengantaraan. Cabaran utama adalah membiayai projek tenaga bersih berimpak tinggi yang kelihatan tidak berdaya maju atau kurang menarik dari sudut komersial pada peringkat awal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, Makmal Inovasi Kewangan Iklim (CFIL) setakat ini menerima 45 projek yang memohon pembiayaan melebihi RM5 bilion, namun ukuran kejayaan sebenar adalah berdasarkan jumlah projek yang akhirnya dapat diperluas dan menghasilkan impak yang ketara.
“Institusi pembiayaan perlu terlibat dengan projek pada peringkat awal, membantu membentuk projek, mengenal pasti jurang pembiayaan serta menyusun penyelesaian perkongsian risiko, bukannya menunggu sehingga cadangan projek dibangunkan sepenuhnya.
“Sementara itu, peralihan tenaga negara juga semakin mendapat momentum dengan tenaga boleh baharu menyumbang 31 peratus daripada kapasiti terpasang pada 2025, meningkat daripada 25 peratus pada 2023.
“Dengan pusat data dijangka menyumbang hampir satu pertiga daripada penggunaan elektrik menjelang 2035, beliau berkata, Malaysia perlu memastikan pertumbuhan ekonomi digital disokong oleh tenaga yang boleh dipercayai, berpatutan dan semakin bersih,” jelasnya. – UTUSAN










