OPR diunjur kekal 2.75 peratus, berpotensi naik awal 2027 - Utusan Malaysia

OPR diunjur kekal 2.75 peratus, berpotensi naik awal 2027

KASHIF Ansari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Khamis ini, namun berpotensi menaikkan kadar berkenaan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, jangkaan itu mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh daripada jangkaan, selain kadar inflasi yang masih terkawal.

Beliau berkata, kadar OPR semasa juga masih sesuai dengan keadaan pertumbuhan ekonomi dan inflasi negara, sekali gus mengurangkan keperluan untuk BNM melaksanakan kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak mesyuarat terakhir MPC, pertumbuhan ekonomi lebih kukuh daripada jangkaan, namun kadar inflasi juga lebih rendah.

“Pasaran hartanah turut menunjukkan kestabilan apabila kadar faedah semasa membantu mengurangkan tekanan akibat peningkatan kos pembinaan, khususnya yang berkait dengan harga diesel,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kashif, ketiadaan tanda-tanda gelembung hutang dalam pasaran hartanah turut menjadi antara faktor yang menyokong jangkaan OPR tidak berubah pada mesyuarat kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, prospek dasar monetari boleh berubah pada 2027 berikutan jangkaan peningkatan kos tenaga, makanan dan input ekonomi yang berpotensi mendorong inflasi lebih tinggi.

Katanya, unjuran inflasi tahun depan berkemungkinan meningkat sehingga 2.8 peratus, berbanding paras lebih rendah ketika ini, sekali gus membuka ruang kepada BNM untuk menaikkan kadar dasar sekiranya tekanan harga semakin ketara.

“Jika inflasi mencapai paras tertinggi dalam julat unjuran itu, bank pusat mempunyai alasan yang kukuh untuk menaikkan kadar dasar.

“Justeru, pasaran kewangan kini mengambil kira kemungkinan kenaikan kadar faedah dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Beberapa institusi kewangan utama termasuk JP Morgan, Kenanga, OCBC, RHB dan CIMB turut menjangkakan kemungkinan kenaikan OPR pada suku pertama 2027.

Sementara itu, Kashif berkata, keadaan pasaran hartanah kediaman negara masih terkawal dengan kenaikan harga yang sederhana, sekali gus tidak menunjukkan petunjuk berlakunya gelembung harga hartanah.

Katanya, Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 0.9 peratus kepada 234.7 mata pada suku kedua tahun ini, dengan harga purata rumah di seluruh negara kini mencecah RM506,317.

Segmen hartanah bertingkat tinggi mencatatkan prestasi terbaik dengan pertumbuhan harga tahunan sebanyak 0.9 peratus.

Dari segi lokasi, Johor merekodkan kenaikan harga rumah tertinggi sebanyak 3.6 peratus, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2.7 peratus, manakala Pulau Pinang meningkat 0.2 peratus.

Beliau berkata, pemaju turut mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam melancarkan projek baharu bagi mengelakkan lebihan bekalan pasaran.

Sebanyak 27,832 unit kediaman baharu dilancarkan pada separuh pertama tahun ini, iaitu penurunan 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, peningkatan kos pembinaan terus menjadi cabaran kepada pemaju apabila kos berkenaan meningkat purata kira-kira 13 peratus antara Mac hingga Jun tahun ini, sebahagian besarnya dipengaruhi kenaikan harga bahan api.

Menurut Kashif, keadaan pasaran yang lebih stabil memberi keyakinan kepada pembeli rumah apabila 56 peratus rakyat Malaysia dalam satu tinjauan menyatakan hasrat membeli kediaman dalam tempoh dua tahun akan datang.

Malah, kebimbangan pembeli terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah turut berkurangan hampir satu perlima.

Beliau berkata, perkembangan pasaran hartanah dan keadaan ekonomi keseluruhan akan terus menjadi antara pertimbangan penting BNM dalam menentukan hala tuju dasar monetari.

Tambahnya, keputusan kadar faedah akan bergantung kepada perkembangan sebenar petunjuk ekonomi termasuk pertumbuhan, inflasi, guna tenaga dan tahap hutang negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini