PETALING JAYA: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjadi lebuh raya antara negeri pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan Touch ’n Go eWallet PayDirect secara menyeluruh.
Langkah proaktif itu membolehkan pengguna menghubungkan kad Touch ’n Go mereka terus kepada aplikasi eWallet, sekali gus menyaksikan caj tol ditolak secara automatik daripada baki eWallet tanpa perlu melakukan tambah nilai secara manual di kaunter atau mesin.
WCE berkata, pelaksanaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memacu agenda transformasi digital dengan memberi penekanan kepada kemudahan pengguna dan kecekapan aliran trafik.
“Peralihan ke arah ekosistem lebuh raya tanpa tunai sepenuhnya ini bukan sahaja meningkatkan kelancaran perjalanan, malah memperkukuh kedudukan WCE sebagai lebuh raya berteraskan teknologi yang bersedia untuk masa hadapan.
“Inovasi ini juga selari dengan keperluan mobiliti moden yang menuntut pengalaman perjalanan lebih lancar dan bersepadu bagi setiap pengguna,” katanya.
Menerusi pengenalan PayDirect di seluruh jajaran lebuh raya berkenaan, WCE kini menetapkan penanda aras baharu dalam operasi lebuh raya antara negeri di Malaysia menerusi penyampaian infrastruktur berimpak tinggi.
Pengguna jalan raya kini boleh menikmati perjalanan merentas negeri dengan lebih efisien, sekali gus mengurangkan risiko kesesakan di lorong tol akibat baki kad yang tidak mencukupi.-UTUSAN










