PETALING JAYA: I-Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 150 peratus tahun ke tahun kepada RM12.36 juta dengan hasil naik 53 peratus kepada RM62.06 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.
Prestasi kukuh ini disokong oleh sumbangan mantap daripada tiga segmen utama perniagaan kumpulan iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta riadah dan hospitaliti.
Keputusan ini mengesahkan hala tuju strategik kumpulan sepanjang tahun lalu yang memfokuskan kepada pembinaan model perniagaan berasaskan aset yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Menurut kenyataannya, segmen riadah dan hospitaliti menyumbang RM26.40 juta hasil bagi suku tersebut, sekali gus kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan.
“Hotel Wyndham Garden i-City yang baru dijenamakan semula (dahulunya dikenali sebagai Best Western Hotel) mencatat kadar penghunian yang sihat dalam suku penuh pertama operasinya, bersama sumbangan daripada DoubleTree by Hilton i-City dan Wyndham Suites KLCC.
“Aset-aset ini terus memperkukuh strategi I-Berhad dalam mengoptimumkan hasil serta meningkatkan nilai portfolio hospitaliti berteraskan premium,” katanya.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah pula menunjukkan pemulihan apabila mencatat hasil sebanyak RM28.36 juta dan keuntungan sebelum cukai RM4.62 juta, berbanding kerugian RM2.23 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan ini disumbang oleh permintaan berterusan terhadap unit di BeCentral serta pelancaran akan datang bagi kediaman berjenama di i-City Finance Avenue.
Sehingga 31 Mac 2025, jualan belum dibil adalah RM89.2 juta, memberikan keterlihatan pendapatan bagi suku-suku mendatang.
Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, keputusan ini mencerminkan transformasi syarikat ke arah perniagaan yang lebih seimbang dan berasaskan aset.
“Sepanjang tahun lalu, kami telah menstruktur semula enjin pertumbuhan kami untuk mewujudkan ekosistem yang mampu menjana pendapatan berulang daripada aset sedia ada.
“Prestasi yang kita lihat hari ini membuktikan strategi ini berhasil. Pendapatan kami bersifat meluas, berdaya tahan dan disokong oleh gabungan pendapatan berulang serta pembangunan yang responsif kepada pasaran,” ujarnya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, I-Berhad akan menumpukan kepada pembangunan secara berfasa, kecekapan operasi dan pengukuhan penyewaan komersial.
Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berbaki sebanyak RM5 bilion di i-City, beliau memberitahu, kumpulan akan melancarkan projek-projek baharu mengikut masa yang sesuai bagi memaksimumkan nilai dan menyesuaikan dengan keadaan pasaran.
“Dengan asas pendapatan yang stabil dan GDV yang signifikan dalam simpanan, kami kini memasuki fasa baharu yang ditentukan oleh pelaksanaan berdisiplin, pengoptimuman hasil, dan nilai ekosistem jangka panjang,” jelasnya.-UTUSAN










