KUALA LUMPUR: SumiSaujana Group Berhad, pengeluar bahan kimia khusus minyak dan gas (O&G) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad memiliki sedikit kelebihan hasil hubungan perdagangan tidak menentu antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, Toh Chee Seng berkata, syarikat itu kekal optimis meskipun berdepan ketidaktentuan yang timbul susulan perang tarif antara dua kuasa besar ekonomi dunia.
“Walaupun AS mengenakan tarif terhadap Malaysia, terdapat beberapa sektor yang menerima pengecualian. Kami masih perlu meneliti dengan lebih mendalam sektor mana yang terlibat.
“Namun, dari sudut prospek perniagaan, apa yang kami perhatikan sejak kebelakangan ini ialah terdapat ruang pertumbuhan yang boleh diteroka, khususnya di rantau Asia Pasifik, China serta AS, hasil daripada ketidaktentuan dalam hubungan perdagangan antara kedua-dua negara tersebut.
“Justeru, kami yakin mempunyai kelebihan tersendiri untuk mengembangkan operasi di rantau Timur Jauh dan Asia Pasifik, termasuk juga di Amerika Utara, terutamanya pasaran AS,” katanya pada sidang media maya selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini, semalam.
Saham SumiSaujana dibuka pada 18 sen sesaham, lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) permulaan pada 24 sen sesaham.
Ketika dibuka, sebanyak 6,522,700 saham pengeluar kimia khusus bagi industri O&G diniagakan.
Syarikat itu berjaya mengumpul RM74.40 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) dan akan menggunakan RM40.20 juta untuk pemerolehan Pejabat Korporat dan Gudang Puncak Alam baharu, menyatukan kemudahan operasi dan pergudangan kumpulan.
Sebanyak RM18.90 juta untuk pengambilalihan Kilang Puncak Alam sedia ada, memastikan kestabilan operasi jangka panjang.
Selain itu, sejumlah RM2.08 juta untuk perbelanjaan modal, termasuk pembelian dan pemasangan infrastruktur teknologi maklumat, dan pemasangan sistem fotovoltaik solar, RM7.62 juta untuk penubuhan makmal penyelidikan dan pembangunan baharu dan RM5.60 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Norazlam Norbi berkata, beliau yakin industri minyak dan gas akan terus menjadi antara sektor utama dalam landskap tenaga.
“Dari tahun ke tahun, penggunaan hidrokarbon sama ada sebagai sumber tenaga mahupun bahan asas petrokimia menunjukkan pertumbuhan stabil antara satu hingga tiga peratus. Kami melihat pertumbuhan berterusan dalam pembangunan medan minyak, terutamanya dalam pasaran bahan kimia khusus,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, syarikat sememangnya telah menjalankan operasi di Sabah dan Sarawak, termasuk penubuhan pejabat tapak di Miri yang kini mempunyai seramai 12 kakitangan.
“Selain itu, kami juga memiliki kemudahan di Labuan. Maka, setiap kali peluang muncul di Sabah dan Sarawak, kami pasti akan mengambil bahagian. Dengan peningkatan projek di kedua-dua negeri ini, kami yakin dapat memperluaskan kehadiran kami.
“Syarikat kini telah mempunyai beberapa kontrak membekalkan kepada syarikat minyak di perairan Sabah dan Sarawak serta akan terus memperkukuh pasukan serta keupayaan operasi di wilayah tersebut,” katanya.-UTUSAN









