UNICEF cadang gaji minimum pada RM2,102 - Utusan Malaysia

UNICEF cadang gaji minimum pada RM2,102

UNICEF mencadangkan gaji minimum disemak semula kepada RM2,102 berbanding RM1,500. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencadangkan paras gaji minimum di negara ini disemak semula kepada paras RM2,102 sebulan, berbanding RM1,500 ketika ini.

Menurut laporan yang diterbitkan UNICEF Malaysia, hasil tinjuan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan penengah, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.

Katanya, hasil tinjauan berulang tentang impak kos sara hidup pasca pandemik terhadap isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur, tahap gaji minimum pada masa ini terlalu rendah dan tidak mencukupi untuk pekerja.

“Pengiraan menunjukkan bahawa gaji minimum perlu ditetapkan pada RM2,102 sebulan, bukannya RM1,500 sebulan pada masa ini. Gaji sara hidup semasa seperti yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) ialah RM2,700,” katanya dalam laporan.

Menurut laporan, sebanyak 46 peratus ketua isi rumah percaya kedudukan kewangan mereka sekarang lebih teruk berbanding tahun sebelumnya.

“Hakikatnya, kedaifan kewangan mereka pada masa ini lebih perit berbanding pengalaman semasa kemuncak pandemik. Ketika pandemik pada September 2020, sebanyak 30 peratus daripada ketua isi rumah percaya pendapatan mereka mencukupi.

“Namun, angka itu menjunam separuh kepada 15 peratus berbanding pada Oktober 2023, dengan 81 peratus ketua isi rumah menyatakan kedudukan kewangan mereka sekarang lebih sengsara,” katanya.

Laporan itu memberi tumpuan kepada tinjauan pasca pandemik yang dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023, membabitkan pengumpulan data daripada sejumlah 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

Sampel terdiri daripada 501 isi rumah dengan kira-kira 30 peratus mewakili responden yang pernah ditemu bual di bawah projek Keluarga di Pinggiran (FOE), dengan sampel penggalak sebanyak 254 isi rumah terdiri daripada isi rumah yang diketuai oleh wanita.

Sementara itu, penemuan utama laporan UNICEF itu menunjukkan walaupun keluarga telah pulih dari segi pekerjaan dan pendapatan, kemiskinan mutlak berada pada 41 peratus daripada keseluruhan kemiskinan dan 17 peratus lagi adalah kemiskinan tegar.

Ia terutamanya dalam kalangan isi rumah yang diketuai wanita dan isi rumah yang diketuai oleh orang kurang upaya.

“Peningkatan kos sara hidup telah memburukkan lagi kesukaran, dengan lapan daripada 10 keluarga bergelut untuk memenuhi keperluan asas, mengakibatkan mereka terpaksa membuat pilihan seperti mengurangkan pengambilan makanan.

“Kesan ke atas kesihatan mental adalah ketara, dengan satu daripada empat mengalami kemurungan, yang mana lebih tinggi daripada semasa wabak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN