KUALA LUMPUR: Kementerian Digital bakal mengemas kini Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) yang akan tamat pada 2025 bagi membolehkan ia bersesuaian dengan kehendak semasa negara.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong berkata, Kementerian Digital bersama tujuh agensi berkaitan akan berbincang menghasilkan pelan berteraskan komuniti.
Katanya, ia akan memberi peluang masyarakat luar bandar untuk celik teknologi dan digital.
“Ini termasuk kesamarataan kepada industri pendigitalan di bandar dan luar bandar selaras hasrat kerajaan inginkan transformasi digital dilaksana segera supaya tidak ketinggalan dan dapat bersaing pantas,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pejabat Baharu ActivpayRoll, di sini, hari ini.
Jelas beliau, pelan tersebut turut dirangka supaya Malaysia mempunyai input terbaik dan bersaing dengan negara di Asia Tenggara.
“Kita juga akan memastikan pelan itu selari dengan negara jiran seperti Singapura, Thailand dan sebagainya,” ujarnya.
Wilson menambah, Kementerian Digital akan melancarkan hala tuju baharunya menerusi tiga teras iaitu Malaysia Digital, Ekonomi Digital dan Komuniti Digital bagi mempertingkatkan aspek pendigitalan di semua peringkat.
Dalam pada itu, beliau turut merasmikan Pejabat Baharu Activpayroll di sini yang memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran pembayaran gaji dan pengurusan HR Asia Pasifik (APAC) dalam memenuhi permintaan industri yang meningkat.
Pengarah Eksekutif Activpayroll untuk Asia Pasifik (APAC), Andrew Philip berkata, langkah itu menetapkan penanda aras bagi Activpayroll untuk memimpin dalam membentuk masa depan perkhidmatan gaji dan HR global di rantau ini.
“Kami melihat pelaburan berterusan kami dalam pasukan operasi kami yang berpangkalan di Malaysia sebagai instrumen dalam memperluaskan dan mengembangkan perkhidmatan Activpayroll di rantau ini.
“Dengan ketersediaan sumber yang mahir di Kuala Lumpur, kami yakin dapat menawarkan sokongan rapat yang diperlukan oleh pelanggan kami untuk berjaya di APAC,” katanya.
Tambahnya, pasaran itu dijangka mencapai nilai AS$37.9 bilion dengan pertumbuhan kadar tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 8.2 peratus dari tahun 2022 hingga 2027. – UTUSAN










