Malaysia tidak boleh jadi seperti negara komunis – Rafizi

Malaysia tidak boleh jadi seperti negara komunis semua harga dikawal kerajaan – Rafizi

rafizi
PERMINTAAN yang tinggi, mendorong kenaikan harga barang makanan di pasaran, seterusnya mengakibatkan kenaikan kadar inflasi. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Malaysia tidak boleh menjadi seperti negara komunis di mana semua harga makanan dan minuman di ka­wal oleh kerajaan.

“Pada dasarnya, kerajaan tidak boleh kawal harga makanan kerana ia di luar kuasa kerajaan,” demikian ditegaskan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai kenaikan harga barang makanan dan minuman di pasaran.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini semalam, beliau berkata, jika harga makanan tidak turun, maka pengguna harus bertindak balas.

Kata beliau, rakyat juga perlu memahami bahawa kerajaan turut berdepan cabaran untuk melaksanakan penguatkuasaan harga makanan.

Selain itu katanya, kawalan harga barangan juga perlu selari dengan kapasiti dan bekalan yang mencukupi.

Menurutnya, jika bekalan makanan mencukupi, maka harga akhir yang dikenakan kepada pengguna juga perlu selari dengan penurunan harga bahan mentah.

Tambah beliau, peningkatan harga makanan dan minuman di luar rumah, terutama di restoran dan hotel adalah penyum­bang utama kepada kadar inflasi setiap bulan.

Justeru katanya, usaha me­ngawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, dari kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.

“Sepertimana yang disebut­kan sebelum ini, kerajaan ingin mengingatkan bahawa pengguna boleh memainkan pera­nan dalam bersama-sama menyuntik keanjalan di antara permintaan dan bekalan demi mengawal inflasi,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi me­negaskan, negara akan berdepan masalah besar sekiranya inflasi berada pada kadar sihat tetapi ia tidak diterjemahkan kepada penurunan harga barangan dan makanan.

Katanya, beliau melihat kadar inflasi sudah mula mendatar sejak Ogos dan September tahun lalu dan ia mencecah 3.8 peratus pada bulan terakhir 2022.

Beliau berkata, jika kadar inflasi terus turun dan mencecah sekitar 2.8 hingga 3.2 peratus pada April depan, maka harga bahan mentah di pasaran akan turut turun.

Rafizi turut mengakui tum­puan utamanya ketika ini adalah soal menangani kenaikan harga barang dan gaji kerana ia tum­puan utama rakyat ketika ini.

Menurutnya, walaupun tugas itu tidak nampak begitu besar namun, dua isu itu memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Ada yang bertanya kenapa Kementerian Ekonomi cerita pasal harga barang, selalunya kalau orang cakap pasal kementerian ini cerita projek besar, unjuran 10 tahun dan sebagainya.

“Namun, bagi rakyat, perkara ekonomi yang paling penting bagi mereka adalah dua perkara sahaja iaitu soal harga barang dan juga gaji,” katanya.

Ditanya sama ada pihak pembangkang akan membawa usul kos sara hidup dan inflasi pada sidang Parlimen bulan depan, Rafizi berkata, ia terpulang kepada mereka.

Katanya, jika pembangkang ingin memainkan isu inflasi dan harga barang, ia terpulang kepada mereka malah, rakyat sudah bijak menilai berdasarkan apa yang sudah berlaku sejak setahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN