TAMPIN: Demi tugas dan tanggungjawab mengekang penularan Covid-19, seorang anggota polis sanggup menangguhkan majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung pagi semalam.
Konstabel Ahmad Zaim Nasreen, 26, yang berasal dari Felda Jelai, Gemas berkata, dia sepatutnya dijadualkan bernikah di Masjid Felda Palong 8 pada pukul 10 pagi namun terpaksa ditangguhkan.
Menurutnya yang sudah dua tahun berkhidmat dalam pasukan polis, dia masih menjalankan tugas seperti biasa dengan menjaga sekatan jalan raya (SJR) di Brickfield, Kuala Lumpur.
“Insya-Allah, keluarga di kedua-dua belah pihak faham dengan keadaan ini. Sedih, memang sedih, tapi sebabkan fikir perbezaan negeri dan status kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), terpaksa tundalah.
“Nanti terjadi kluster baharu pula, buat masa ini, kami masih tiada tarikh baharu untuk majlis nikah namun berkemungkinan akan dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia dekat sini.
Ahmad Zaim berkata, dia sudah mengenali bakal isterinya itu kira-kira empat tahun lalu dan mereka mula merancang untuk berkahwin sejak tahun lepas.
Anggota Unit Pencegahan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield itu berkata, majlis nikah dirancang itu adalah sehari sebelum tarikh lahir bakal isterinya iaitu pada 18 Januari.
“Ini kali pertama kita berhadapan dengan pendemik Covid-19 seperti ini, saya harap agar orang awam memberikan kerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam menangani Covid-19.
“Nak suruh duduk rumah itu memang susah tapi kalau boleh jika tiada urusan penting atau mustahak duduklah dalam daerah masing-masing,” katanya.
Ditanya nekadnya memegang kertas tertera tulisan ‘Sepatutnya hari ini saya nikah 17.01.2021’ tersebut ketika bertugas pagi semalam, Ahmad Zaim berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam untuk sama-sama bertanggungjawab memutuskan rantaian Covid-19.
“Selain itu ia bagi memujuk hati bakal isteri saya kerana pernikahan kami terpaksa ditunda ke tarikh lain pula,” katanya. – UTUSAN









