PETALING JAYA: Kerajaan digesa membenarkan golongan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang berkata, walaupun golongan PKS sudah mula menyesuaikan diri dengan perniagaan dalam talian sejak beberapa bulan lepas, tidak semua peniaga meraih pendapatan sama seperti ketika beroperasi tanpa kekangan PKP.
“Bagaimana kami semua boleh dapat duit jika disuruh duduk rumah dan berniaga secara dalam talian sedangkan tidak semua orang boleh dapat duit melalui online, malah ada platform penghantaran barang yang terlalu mahal untuk peniaga PKS.
“Kalau nak laksanakan PKP sekalipun ia mesti selari dengan pemulihan ekonomi. Maknanya jika PKP kekang wabak Covid-19, pada masa sama kerajaan perlulah bantu naikkan pertumbuhan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, Michael menggesa kerajaan supaya membangunkan sistem atau platform untuk membantu golongan PKS menjalankan perniagaan dengan lancar sepanjang tempoh PKP.
“Bangunkan satu sistem atau platform supaya dapat membantu kelangsungan perniagaan golongan PKS dan peniaga mikro.
“Kerajaan juga boleh mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus semasa PKP untuk semua peniaga PKS supaya kami dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan dapat memperkenalkan pakej ransangan baharu ketika PKP.
“Sekarang golongan PKS berdepan dengan masalah perlu menanggung bayaran gaji kakitangan dan bayaran sewa premis, jadi kami mengharapkan ada pakej atau insentif daripada kerajaan untuk meringankan beban,” katanya. – UTUSAN ONLINE











