Pendapatan penghantar makanan merosot - Utusan Malaysia

Pendapatan penghantar makanan merosot

Ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan sebelum menyambung pengajian ke universiti atau mendapat peluang pekerjaan lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pendapatan harian penghantar makanan di negeri ini merosot teruk berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Rabu lepas sehingga 26 Januari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia dalam kalangan penghantar makanan di sekitar Tangga Batu, di sini, mendapati, mereka mendakwa pendapatan diperoleh tidak serancak sebelum pelaksanaan PKP.

Jika sebelum ini perkhidmatan itu mampu menerima antara 30 hingga 40 tempahan sehari, kini ada antara mereka mendapat kurang daripada 10 tempahan sehari sekali gus menjejaskan sumber rezeki untuk menyara keluarga masing-masing.

Seorang penghantar makanan sepenuh masa, Faizal Safi, 35, dari Tanjung Minyak, di sini berkata, sejak PKP dia hanya mampu membuat penghantaran antara 10 hingga 20 tempahan sehari dan itu jauh berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, bagi sesetengah tempat luar dari negeri ini, pelaksanaan PKP membawa rezeki lebih kepada penghantar makanan kerana banyak membuat penghantaran makanan namun di Melaka terjadi sebaliknya.

“Bayangkan pada hari pertama PKP, saya hanya dapat 10 tempahan menghantar makanan dan menurun pada hari kedua. Situasi serupa berlaku pada hari ketiga.

“Antara faktor utama adalah tempoh penghantaran dipendekkan dari pukul 12 tengah malam kepada 8 malam. Bila tempoh masa pendek, kami yang ramai berdaftar dengan Foodpanda terpaksa menunggu giliran,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

FAUZI ASHAARI

Seorang lagi penghantar makanan, Fauzi Ashaari, 30, dari Bukit Rambai berkata, pendapatannya kurang sejak pelaksanaan PKP ekoran tempoh pendek antara pukul 8 pagi hingga 8 malam yang dibenarkan kepada penghantar makanan beroperasi.

“Masa yang singkat dan berebut dengan penghantar makanan lain untuk mendapat giliran antara punca utama saya kurang membuat penghantaran sekali gus menjejaskan pendapatan bulanan,” ujarnya.

Justeru, dia berharap pelaksanaan PKP yang dijadual berakhir pada 26 Januari ini tidak dilanjutkan.

SAIFUL NASIR

Sementara itu, Saiful Nasir, 34, pula berkata, situasi sekarang memberi kesan kepadanya kerana tidak mendapat banyak tempahan disebabkan tempoh masa yang diberikan beroperasi adalah sangat singkat.

“Sepanjang tempoh PKP ini, saya menerima kurang daripada 10 tempahan setiap hari berbanding antara 20 hingga 40 tempahan sebelum ini. Tempoh dua minggu ini pastu cukup perit,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN