Pemandu pelancong lega dapat bantuan one-off - Utusan Malaysia

Pemandu pelancong lega dapat bantuan one-off

MUHAMMAD Farhans Hussain Al-Hajj (kanan) ketika bertugas sebagai pemandu pelancong di Georgetown, Pulau Pinang sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Lebih 80 pemandu pelancong berdaftar yang menjadi ahli Persatuan Pemandu Pelancong Mutiara Pulau Pinang menarik nafas lega selepas bakal menerima bantuan secara one-off sebanyak RM500 menerusi pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Pengerusinya, Muhammad Farhans Hussain Al-Hajj berkata, bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban pemandu pelancong yang kehilangan mata pencarian selama hampir setahun akibat pandemik Covid-19.

“Selepas pengumuman pakej Permai ini, rata-rata ahli persatuan melahirkan rasa syukur dan gembira kerana ada juga bantuan untuk mereka.

“Walaupun RM500 itu diberikan secara one-off, namun nilainya besar buat kami yang kehilangan pendapatan sebagai pemandu pelancong sejak Mac tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta menerusi pakej bantuan Permai.

Menurut Muhammad Farhans, rata-rata ahli persatuan berkenaan memaklumkan mereka akan menggunakan bantuan one-off berkenaan sebagai pusingan modal untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Ramai ahli kami yang berniaga makanan serta minuman, saya sendiri menjual kek serta biskut dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk mencari pendapatan tambahan.

“Kami akan gunakan bantuan kali kedua diberikan oleh kerajaan ini dengan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ahli-ahli persatuan itu berharap sektor pelancongan negara kembali pulih selepas vaksin Covid-19 diperoleh.

“Hampir setahun kami tidak bekerja di lapangan, kami harap wabak ini dapat dibendung agar kehidupan semua pihak dapat berjalan seperti dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN