‘Itu gambar sebelum PKP’ - Utusan Malaysia

‘Itu gambar sebelum PKP’

NOOR AZMI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dakwaan dua portal berita, MalaysiaPost.Com dan Malaysiakini berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali adalah tidak benar.

Pejabat Timbalan Menteri itu dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua portal tersebut mendakwa beliau menerima kunjungan sekumpulan individu di pejabatnya dan dikatakan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semalam.

Sedangkan, kata kenyataan itu, gambar kunjungan tersebut adalah sehari sebelum pelaksanaan PKP iaitu pada 12 Januari.

“Kedua-dua portal portal terbabit diminta menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar yang disiarkan dengan segera.

“Dakwaan yang tidak benar sebegitu boleh memberi persepsi buruk masyarakat terhadap Timbalan Menteri I dan Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan berkenaan hari ini.

Portal MalaysiaPost memuat naik artikel bertajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan Langgar PKP lagi?’ dan Malaysiakini pula dengan artikel bertajuk ‘Timbalan Menteri Kesihatan padam gambar lepas disyaki ingkar SOP’ pada pukul 10.42 malam semalam.

Petikan gambar yang dimuat naik Noor Azmi menerusi Facebook beliau itu bertulis: “Kementerian Kesihatan Malaysia. Kunjung hormat sahabat parlimen ke Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I.”

Bagaimanapun, hantaran gambar itu tidak menyatakan bila pertemuan berkenaan berlangsung, sebelum gambar itu dipadam.

Satu gambar menunjukkan sekurang-kurangnya 14 orang di pejabatnya dengan kesemuanya memakai pelitup muka.

Pelaksanaan PKP di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan serta lima negeri lain bermula semalam sehingga 26 Januari ini.

Berikutan pelaksanaan PKP itu, kerajaan menetapkan SOP iaitu sebarang mesyuarat secara bersemuka di pejabat agensi kerajaan dan swasta dilarang manakala majlis rasmi dan bukan rasmi juga tidak dibenarkan untuk agensi kerajaan dan swasta.

Noor Azmi sebelum ini pernah dikenakan dikenakan hukuman denda RM1,000 kerana ingkar PKP di Perak pada April tahun lalu kerana menghadiri satu jamuan ketika mengunjungi sebuah sekolah agama di Lenggong. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya