KOTA BHARU: Denyut nadi Kota Bharu tidak pernah sunyi daripada Pasar Siti Khadijah.
Daripada deretan peniaga yang sibuk melayan pelanggan hinggalah pelancong yang menjadikan pasar itu antara lokasi wajib dikunjungi apabila berada di Kelantan, Pasar Siti Khadijah bukan sekadar tempat membeli-belah, malah menjadi sebahagian daripada wajah negeri ini.
Kini, ikon berkenaan tampil dengan nafas baharu apabila proses transformasi fizikal fasa pertama Pasar Siti Khadijah selesai dilaksanakan menerusi peruntukan keseluruhan RM7 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, daripada jumlah itu, RM5.5 juta diperuntukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala RM1.5 juta lagi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut beliau, peruntukan tersebut berjaya menyuntik rasa ‘kita mampu ubah’ ke Kota Bharu, khususnya dalam usaha menjadikan Pasar Siti Khadijah lebih selesa dan berdaya tarikan.
Katanya, tumpuan kini beralih kepada perkara yang tidak kurang penting, iaitu membantu peniaga melakukan perubahan dari segi mentaliti dan sikap selepas sebahagian besar projek penambahbaikan fizikal selesai.
“Tiga projek terkini kita laksanakan adalah menggantikan meja-meja niaga yang sudah usang, menyediakan mesin pemotong daging elektronik dan mendidik peniaga menguruskan sisa buangan terutama organik untuk menghasilkan baja.
“Tumpuan kini beralih kepada usaha mengubah mentaliti dan sikap peniaga dalam aspek sosial, pengurusan perniagaan dan penjagaan kebersihan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
BUKAN SEKADAR CANTIK DI MATA
Transformasi Pasar Siti Khadijah tidak terhenti pada rupa fizikal. Bagi sebuah pasar yang menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong, kebersihan, pengurusan perniagaan serta sikap peniaga turut menjadi sebahagian daripada pengalaman pengunjung.
Justeru, perubahan terhadap meja niaga, kemudahan mesin pemotong daging elektronik dan pengurusan sisa organik dilihat sebagai langkah untuk melengkapkan perubahan fizikal yang telah dilaksanakan.
Hafidzah berkata, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan susulan di pasar berkenaan, namun pelaksanaannya perlu diselaraskan dengan kemampuan kewangan kerajaan.
Katanya, ketika permohonan dikemukakan sebelum ini, pihaknya memohon RM15 juta bagi melengkapkan Pasar Siti Khadijah dengan kemudahan lif dan eskalator.

“Namun ayah kita (Perdana Menteri) ketika itu hanya mampu beri RM5.5 juta sahaja,” ujarnya.
TERUJA
Perubahan wajah baharu itu dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri untuk singgah ke pasar ikonik tersebut.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan Wan Mohd. Saiful Azwal Wan Mohamed berkata, usaha yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan itu wajar diberikan pujian.
“Saya yakin dengan imej baharu ini, lebih ramai pelancong akan singgah ke Pasar Siti Khadijah yang menjadi nadi utama ekonomi penduduk.
“Cuma besar harapan saya untuk melihat kemudahan lif dapat diwujudkan bagi memudahkan urusan golongan orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan kerusi roda untuk membeli belah di pasar berkenaan,” katanya. – UTUSAN











