Transformasi Parlimen perlu dilakukan segera - Utusan Malaysia

Transformasi Parlimen perlu dilakukan segera

DR. RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Transformasi Parlimen perlu dilakukan segera bagi membawa pembaharuan kepada sistemnya yang belum pernah dilakukan sejak akta kuasa dan keistimewaan parlimen 1952 dibuat.

Dengan perubahan tersebut, akan menjadikan Ahli Dewan Rakyat misalnya harus fasih bahasa Melayu, bebas jenayah dan rasuah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, mana-mana pihak yang ingin membuat transformasi Parlimen perlu membuat rundingan asas dengan pihak berkuasa Parlimen termasuk Speaker, Setiausaha Dewan dan peraturan mesyuarat.

“Transformasi Parlimen dicetuskan ideanya lebih daripada tiga tahun dahulu, namun tidak dapat dilakukan apa-apa berkaitan kerja utamanya disebabkan pertukaran Perdana Menteri dan Kabinet dan begitu ramai menteri beralih jawatan.

“Sejak akta ini dikeluarkan, belum ada lagi pindaan utama dilakukan, hanya sekali sahaja disemak semula, namun tidak menzahirkan bibit pembaharuan jelas,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Sebelum ini, perbahasan di Parlimen memperlihatkan keadaan kurang senang dalam kalangan rakyat disebabkan pertelingkahan ahlinya, malah beberapa ahli Parlimen pernah dikaitkan dengan kes rasuah, perubahan wang haram dan kes jenayah lain termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Malah, situasi kekecohan di Parlimen menyebabkan rakyat mula melihat sisi berbeza pemimpin di negara ini dalam mengendalikan sesuatu isu negara di dewan.

Tambah Rais, perbahasan ahli tidak boleh kasar, menggunakan bahasa biadab tidak seperti sekarang dengan ahli dewan bertekak seperti di pasar besar, sedangkan orang berintelektual seperti di House of Commons, England berucap secara intelek, bergaya dan berbahasa bagus serta tidak menengking.

Katanya, pegawai Parlimen juga tidak harus dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), maka perlukan kepegawaian dengan sekatan tertentu supaya berada di bawah pengawasan disiplin, tingkah laku dan kenaikan pangkat yang berpunca daripada Parlimen.

Beliau juga menjelaskan, status Parlimen perlu bebas daripada mana-mana pengawasan luaran dan mengawasi hal diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan suruhanjaya penyiasatan.

Jelasnya, Parlimen Malaysia tidak pernah mendapat semakan konsep transformasi, malah akta mewujudkan perkhidmatan Parlimen telah dimansuhkan pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada tahun 1989 tanpa sebab yang jelas.

“Perlu disemak dalam bentuk dan konsep progresif, contohnya satu pertiga ahli dewan ingin membuat persidangan secara mengejut dibolehkan, sekarang tidak boleh kerana peraturan mesyuarat mengekang perbuatan seperti itu, berbanding pertubuhan bukan kerajaan.

“Selain itu, seseorang ahli tidak dapat mengemukakan apa-apa usul penting kecuali usul tertakluk di bawah Fasal 18 Dewan Rakyat seperti usul percaya dan tidak percaya yang hanya boleh dibawa seorang menteri, bukan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Malah, Perkara 45 Perlembagaan memerlukan seseorang ahli berkepakaran untuk dilantik menjadi menteri, itu tidak terjadi ketika ini dan sekiranya ditransformasi, pelantikan menteri akan dilantik dengan kepakaran dimiliki,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN