PETALING JAYA: Satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi mengkaji pindaan Perlembagaan Persekutuan jika usaha mentransformasikan Parlimen hendak dilakukan
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, tumpuan mesti diberikan kepada menjadikan institusi tersebut sebagai badan Legislatif yang berasingan daripada Eksekutif dan Kehakiman secara yang diterima oleh konsep pengasingan kuasa.
Jelas beliau, pada masa ini Parlimen Malaysia ditadbir oleh jabatan-jabatan yang bukan Legislatif misalnya kakitangan dan pegawainya dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang tidak seharusnya begitu.
“Mengenai Transformasi Parlimen, pada pandangan saya, seharusnya Parlimen mentadbir kakitangan dan stafnya di bawah Jawatankuasa Tetap Dewan dan hal ehwal kewangannya harus ditadbir oleh Jawatankuasa Dewan.
“Apa-apa takwim yang hendak dilaksanakan hendaklah secara rundingan terus antara parti yang majoriti, dengan pentadbiran Parlimen atau antara Jabatan Perdana Menteri dan Parlimen, malah Parlimen juga harus berkuasa mengadakan sidang khas jika satu pertiga daripada anggotanya merayu Speaker untuk berbuat sedemikian.
“Pada masa ini seseorang ahli Parlimen boleh mengemukakan rang undang-undang persendirian, tetapi anehnya tidak dibenarkan membuat apa-apa usul, malah penting untuk memperkasa jawatankuasa di bawah Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta akta kuasa dan keistimewaan Parlimen tahun 1952,” jelasnya.
Semalam Rais mengetengahkan cadangan transformasi Parlimen antranya setiap calon yang hendak menjadi ahli Parlimen sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kecekapan bahasa kebangsaannya perlu dipastikan baik kerana ada ahli Parlimen yang enggan berucap lantaran tidak begitu fasih bahasa Melayu, maka perlu ditemu duga dan diluluskan oleh jawatankuasa pemilih parti masing-masing.
Katanya, ahli Parlimen harus tidak ada latar belakang rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain jenayah yang tersenarai dalam sistem perundangan negara dan syarat-syarat lain itu seharusnya dikenakan oleh sesuatu badan yang dikawal oleh Parlimen.
“Dalam urusan jawatankuasa tersebut, kuat kuasa undang-undang 1952, maka semua transformasi mesti ada prosedurnya termasuk peraturan mesyuarat sekarang di kedua-dua dewan yang banyak memihak kepada kerajaan, maka pertimbangan itu harus dilakukan oleh satu jawatankuasa yang neutral.
“Saya cadangkan jawatankuasa mengkaji kuasa-kuasa Parlimen dan hak asasinya dibuat oleh campuran cerdik pandai dalam undang-undang Perlembagaan serta mereka yang mahir di sisi peraturan dan dipengerusikan oleh Speaker Dewan dengan penyertaan pelbagai pihak, parti dan bukan parti yang belum pernah dibuat,” ujarnya.
Jelasnya, Jawatankuasa Tetap Parlimen harus mulai bergerak dan berfungsi kerana walaupun telah wujud, ia tidak begitu aktif, maka pihaknya di Dewan Negara akan aktifkan supaya rakyat boleh membuat rayuan terus kepada jawatankuasa tersebut.
“Transformasi juga harus meliputi syarat menjadi wakil Parlimen dan Ahli Senat atau Dewan Negara yang sekarang tiada syarat dan sesiapa sahaja boleh bertanding, maka di Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri pula tangkap muat sahaja untuk mengutip ahli disukai dan dipilih oleh pihak kerajaan.
“Sekarang sistem dipilih tanpa ditanya latar belakang jenayah, suka membuat kerja amal atau dengan NGO dan kecekapan bahasa, maka sesiapa sahaja yang ditunjuk parti, dialah yang bertanding sehingga mengakibatkan isu politik wang sedangkan orang tersebut tidak cukup syarat menjadi pemimpin,
“Dalam hal ini kita tiada undang-undang mewajibkan seseorang untuk lulus dalam pemilihan dan sekiranya Jabatan Perdana Menteri sebagai Eksekutif memilih, jelas ada sengau dan bau bacang politiknya.
“Di New Zealand dan Australia, Parlimen ada kuasa menentukan syarat menjadi ahli Parlimen selain umur 20 yang sekarang menjadi 18 tahun dan tidak ditapis tanpa melalui proses peremajaan.
“Kita perlu mengadakan jawatankuasa bersama termasuk pembangkang, kerajaan, pentadbiran Parlimen dan wakil dari Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negara membuat satu kajian transformasi.
“Sekarang tiada penapisan, maka kalau nak letak di bawah Jawatankuasa Pilihan Raya baik juga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










