PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi memperkukuh industri kreatif negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu merangkumi enam kategori bagi membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri, termasuk bakat baharu dan artis veteran.
“Dana ini bertujuan membuka peluang lebih luas kepada bakat muda menerusi kategori seperti Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), selain memberi ruang kepada artis veteran melalui Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR).
“Kita juga mahu menggalakkan penghasilan kandungan baharu yang memenuhi keperluan pasaran digital masa kini, seperti mikro drama untuk platform OTT,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada Sabtu.

Enam kategori yang ditawarkan ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi; Dana FAME, Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem, Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar/Platform OTT, Dana STAR dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.
Fahmi berkata, permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) mulai 16 November ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi menyifatkan penganjuran ASA edisi ke-37 sebagai pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap sumbangan seluruh warga industri penyiaran, termasuk mereka yang bertugas di hadapan dan di belakang tabir.
Katanya, penganjuran anugerah itu setiap dua tahun memberi ruang untuk menilai perkembangan industri penyiaran serta memastikan kategori yang dipertandingkan kekal relevan dengan perubahan semasa.
“ASA diadakan dua tahun sekali, jadi sudah pasti banyak perkembangan dalam industri sepanjang tempoh tersebut.
“Seperti dana mikro drama yang diumumkan tadi, kita percaya bentuk hiburan baharu ini mungkin akan diambil kira dalam kategori ASA akan datang.
“Kementerian akan menilai semula setiap aspek teknikal dan kategori selepas edisi kali ini bagi memastikan anugerah berkenaan kekal relevan dalam memperkukuh identiti ekonomi kreatif negara,” katanya.
Terdahulu, ASA 2026 mempertandingkan 60 kategori, termasuk dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa selain mengembalikan kategori Pengulas Radio Terbaik. – UTUSAN











