Pisau lapah, kapak laris menjelang Aidiladha

Pisau lapah, kapak laris menjelang Aidiladha

FARIDAH Mohd. Nor menunjukkan pisau lapah dijual di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Menjelang sam­butan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi, gerai menjual pisau lapah, kapak dan golok di Pasar Siti Khadijah, di sini kembali menjadi tumpuan pelanggan yang membuat persiapan awal untuk ibadah korban.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, peralatan melapah daging itu terus mendapat permintaan tinggi meskipun ber­depan saingan jualan secara dalam talian menerusi aplikasi e-dagang.

Seorang peniaga, Faridah Mohd. Nor, 58, berkata, pera­latan tersebut boleh dianggap antara ‘barang wajib’ dibeli setiap kali Aidiladha kerana digunakan ketika proses melapah daging korban.

Katanya, alat seperti pisau lapah, kapak besi dan kayu dan golok dijual pada harga antara RM25 hingga RM90 bergantung kepada jenis dan saiz.

“Setiap kali menjelang Aidil­adha jualan meningkat kerana ramai pelanggan mencari peralatan untuk kegunaan melapah daging korban.

“Semua peralatan ini diperoleh daripada pembuat tempatan dan luar Kelantan. Ada pelanggan sanggup datang awal termasuk dari luar negeri semata-mata mahu mendapatkan barangan yang berkualiti,” katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, semalam.

Faridah berkata, kebanyakan pelanggan gemar membeli secara terus kerana mahu melihat ketajaman dan kualiti peralatan sebelum membuat pilihan.

Seorang lagi peniaga, Nik Qistina Nik Kamarul Azhar, 30, mengakui jualan agak perlahan sejak tiga tahun kebelakangan ini, namun permintaan terhadap peralatan melapah masih ada.

Katanya, pelanggan lelaki dan wanita tetap datang membeli kerana mahu memastikan sendiri mutu dan kesesuaian peralatan tersebut.

“Ada pelanggan sanggup datang berkali-kali untuk memilih pisau atau golok yang benar-benar sesuai dengan kegunaan mereka.

“Saya akan terus mempertahankan perniagaan ini kerana peralatan seperti ini sentiasa dicari, bukan sahaja ketika Aidiladha tetapi sepanjang tahun,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Abdul Halim Hassan, 45, lebih selesa membeli pisau lapah yang dijual di gerai berbanding dalam talian.

Kaedah itu membolehkannya melihat sendiri kualiti pisau lapah yang akan digunakan semasa ibadah korban.

“Kualiti pisau memainkan peranan penting supaya kerja-kerja melapah daging, mudah dan cepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×