Bunga untuk mandi laris di Pasar Siti Khadijah

Bunga untuk mandi laris di Pasar Siti Khadijah

AZIZAH Mohd. Nor menunjukkan pelbagai jenis bunga yang dijual kepada pelanggan di Pasar Siti Khadijah Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Di sebalik arus kemodenan dan lambakan produk penjagaan diri di pasaran, jualan bunga segar untuk mandian tradisional masih bertahan dan terus mendapat sambutan di Pasar Siti Khadijah, di sini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, gerai menjual pelbagai jenis bunga segar tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelanggan yang datang seawal pukul 8 pagi untuk mendapatkan bunga mandian yang dipercayai mampu memberikan kesegaran badan dan mengekalkan amalan warisan turun-temurun.

Peniaga bunga, Azizah Mohd. Nor, 67, berkata, perniagaan itu sudah diusahakan keluarganya sejak lebih empat dekad lalu selepas diwarisi daripada ibunya, Allahyarham Esah Wok.

Katanya, pelbagai jenis bunga segar dijual termasuk kenanga, cempaka, melur, kesidang, tanjung, mawar, bunga cina, kelapa susu, stoking dan keembong yang terkenal dengan wangian semula jadi.

“Sebelum ini arwah emak berniaga secara kecil-kecilan di sekitar stesen bas dan kereta sewa di bandar ini sebelum berpindah ke Pasar Siti Khadijah. Kebanyakan bunga ketika itu ditanam sendiri di halaman rumah kami di Wakaf Stan,” katanya.

Azizah berkata, selepas kematian ibunya pada 2020, dia meneruskan legasi keluarga kerana minat yang mendalam terhadap perniagaan tersebut.

Katanya, bekalan bunga segar kini diperoleh daripada beberapa pembekal yang menghantarnya setiap hari ke pasar berkenaan.

“Saya membeli bunga antara harga RM40 hingga RM60 bagi setiap jenis sebelum menjualnya kepada pelanggan. Paling laris adalah tujuh jenis bunga yang dijual pada harga RM5 sebungkus, manakala set lengkap mengandungi tujuh jenis bunga, limau purut dan beluru dijual pada harga RM15,” ujarnya.

Sementara itu, pembantu kedai, Nurul Anis Amani Zulkifli, 21, berkata, permintaan terhadap bunga segar meningkat terutama ketika musim cuti persekolahan dan perayaan.

“Ketika cuti sekolah dan Aidiladha baru-baru ini, ramai pelanggan datang membeli bunga. Kadangkala bekalan habis dijual dalam tempoh kurang sehari,” ujarnya.

Bagi pelanggan, Nabilah Mustafa, 43, dia tidak melepaskan peluang membeli tujuh jenis bunga untuk mandian kerana percaya ia mampu memberikan kesegaran kepada badan.

Katanya, dia tertarik untuk mencuba amalan tersebut selepas melihat sambutan yang diterima peniaga bunga segar di Pasar Siti Khadijah tular dala, media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×