JOHOR BAHRU: Seorang ibu tiga anak yang menderita barah payudara tahap empat merayu bantuan orang ramai bagi membolehkannya menjalani rawatan kemoterapi dengan teratur.
Noor Diana Hashim, 47, berkata, kanser dihidapinya itu telah merebak ke bahagian hati, paru-paru, tulang belakang dan tisu.
Menurutnya, dia didiagnos menghidap kanser payudara tahap dua pada 2020 seterusnya menjalani rawatan kemoterapi dan pembedahan.
“Suami saya, Zek Ayry Khan Zarak Khan, 47, pula menghidap kanser pangkal hidung yang menyebabkannya tidak mampu berjalan pada 2023.
“Keadaan itu menyebabkan suami tidak lagi mampu bekerja dan saya dibantu oleh anak mengambil alih tugas mencari sumber pendapatan.
“Bagaimanapun, tiga bulan lalu, sel kanser pada badan saya semakin teruk dan disahkan berada di tahap empat, ia mula merebak ke hati, paru-paru, tulang belakang dan leher,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Kempas di sini.
Turut hadir Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada pasangan suami isteri itu.
Menurut Noor Diana, dia tidak mampu bergerak dan hanya terbaring atas katil, selain terpaksa bergantung kepada tangki oksigen dan memakai lampin dewasa setiap masa.
Katanya, dia baharu sahaja menjalani pembedahan limfedema di tangan kiri yang membengkak dan tidak dapat digerakkan pada minggu lalu.
“Kesan daripada sel kanser itu menyebabkan saya sukar bernafas. Saya sepatutnya boleh berjalan tetapi apabila menggerakkan badan, paru-paru terasa seperti ditekan, macam ada tiga tong gas yang menghempap saya,” katanya.
Katanya, keadaannya ketika ini sangat lemah dan perlu menjalankan rawatan kemoterapi dalam kadar segera.
“Apabila dirujuk ke hospital kerajaan, rawatan itu tidak dapat dilakukan kerana terdapat gejala lain,” katanya. – UTUSAN











