KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) memaafkan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berhubung tindakan pendakwaan isu pencerobohan tanah yang disifatkan tidak berasas terhadap pertubuhan itu sebelum ini.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, keputusan tersebut dibuat kerana PPNP tidak mahu bermusuh dengan UPNP, selain bersyukur kerana keputusan mahkamah akhirnya berjaya membersihkan semula nama baik pertubuhan berkenaan.
Beliau menjelaskan bahawa, tindakan undang-undang ke atas PPNP sebelum ini berkemungkinan berpunca daripada tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan UPNP dengan melemparkan tuduhan palsu kononnya PPNP adalah penceroboh tanah.
Menurutnya, gambaran tidak benar itu sengaja dicipta sedangkan pertubuhan berkenaan sebenarnya berjuang untuk membantu memulangkan hasil negeri yang dipercayai mengalami ketirisan hasil sejak sekian lama.
”PPNP merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terawal di negeri ini yang mengambil langkah proaktif membuat permohonan ‘tapping right’ secara sah mengikut saluran undang-undang semata-mata bagi memulangkan hasil berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Kuantan yang melepaskan dan membebaskan PPNP daripada pertuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah, dua tahun lalu.
Keputusan berkenaan dibuat Hakim Harmi Thamri Mohamad selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap PPNP yang diwakili Bendaharinya, Wan Aidie Amin Wan A. Aziz pada akhir kes pembelaan.
Mengulas lanjut, Zuhairi meluahkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT dan mengesahkan PPNP tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan saman balas terhadap UPNP.
”Yang penting PPNP sudah pun memaafkan UPNP. Kita tidak mahu bermusuh dengan UPNP. Sekiranya pihak UPNP membuat kesilapan, kita akur dan maafkan, malah kita berharap kesilapan yang sama tidak diulangi demi menjaga nama baik kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak penguat kuasa agar lebih berhati-hati dan menjalankan siasatan awal yang teliti serta telus sebelum memulakan sebarang tindakan pendakwaan di mahkamah.
Menurutnya, maklumat palsu yang disampaikan oleh pihak tertentu sebelum ini telah menimbulkan prasangka buruk terhadap perjuangan murni pertubuhan itu.
Zuhairi turut menggesa UPNP mengkaji semula secara mendalam kaedah dan pendekatan dalam menangani isu pencerobohan tanah agar dapat ditangani dengan lebih berkesan tanpa berlaku insiden yang tidak diingini.
Beliau menegaskan, langkah berkenaan penting bagi memastikan insiden salah faham atau pendakwaan yang tidak sepatutnya seperti mana dialami oleh PPNP tidak lagi berulang kepada pihak lain pada masa hadapan.
”Pihak penguat kuasa kena kaji semula kaedah yang sesuai berkaitan isu pencerobohan ini. Siasat betul-betul terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya. – UTUSAN











