PMKS sukar tampung gaji minimum RM3,100

PMKS sukar tampung gaji minimum RM3,100

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM3,100 iaitu melibatkan lonjakan sebanyak 82 peratus amat sukar ditampung keba­nyakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pengerusi Persatuan Pengu­saha Kecil dan Sederhana (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, kesan pelaksanaannya bukan sekadar melibatkan pekerja peringkat asas malah boleh mencetuskan pemampatan gaji apabila jurang gaji antara pekerja baharu dengan pekerja lebih berpengalaman semakin mengecil.

Katanya, keadaan itu memaksa majikan menyelaraskan semula keseluruhan struktur gaji, termasuk penyelia, pakar teknikal dan kakitangan pe­ngurusan bagi mengekalkan perbezaan berdasarkan kelayakan, kemahiran serta pengalaman kerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi sektor yang beroperasi dengan margin keuntungan amat nipis seperti peruncitan, makanan dan minuman (F&B), logistik serta pembuatan intensif buruh, langkah sedemikian dikhuatiri membawa kesan sebaliknya.

“Daripada meningkatkan taraf hidup pekerja, ia berisiko menyebabkan tekanan aliran tunai yang serius, pembekuan pengambilan pekerja baharu, pengurangan tenaga kerja dan kemungkinan penutupan operasi perniagaan.

“Ini merupakan realiti operasi di peringkat akar umbi, bukannya suatu kebimbangan yang sengaja diperbesar-besarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, William berkata, teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap konglomerat yang meraih keuntungan berbilion ringgit perlu dilihat dalam konteks berbeza daripada keadaan peniaga kecil dan PMKS.

Beliau berkata, pengusaha kecil tidak menikmati keuntu­ngan sedemikian malah keba­nyakannya sekadar beroperasi pada tahap sara diri selepas menolak kos operasi dan perbelanjaan harian.

“Walaupun saranan supaya kenaikan gaji diselaraskan de­ngan peningkatan produktiviti itu wajar dari sudut dasar, kemampuan PMKS untuk melaksanakannya amat berbeza.

“PMKS tidak mempunyai rizab tunai yang kukuh, akses pembiayaan atau kepakaran setanding syarikat gergasi untuk membuat pelaburan besar dalam automasi, kecerdasan buatan (AI) atau penstrukturan semula rantaian bekalan,” katanya.

Menurut William, sepanjang dua tahun kebelakangan ini, PMKS telah menyerap pelbagai peningkatan kos operasi yang belum pernah dialami sebelum ini, termasuk tarif utiliti, logistik dan harga bahan mentah.

Katanya, pada masa sama, mereka mempunyai ruang amat terhad untuk memindahkan kos tersebut kepada pengguna.

“Peningkatan produktiviti memerlukan latihan peningkatan kemahiran, pelaburan aset modal baharu dan masa yang mencukupi.

“Menuntut PMKS mengubah model perniagaan secara mendadak melalui tekanan peraturan adalah kurang praktikal dan boleh menjejaskan kestabilan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya industri diharapkan menanggung kenaikan gaji lebih tinggi, kerajaan disaran menyediakan sokongan menyeluruh supaya beban itu tidak diletakkan sepenuhnya di bahu majikan.

“Ini merangkumi usaha memperluas dan mempercepat penyaluran insentif soko­ngan gaji di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP), di samping menyediakan geran padanan yang mudah diakses serta skim pembiayaan tanpa cagaran bagi penggunaan teknologi digital dan automasi kos rendah.

“Pada masa sama, pertimbangan wajar diberikan terhadap pelepasan cukai korporat sementara, subsidi atau pe­nyerapan sebahagian caruman wajib majikan bagi julat gaji yang diselaraskan serta moratorium bayaran pematuhan peraturan baharu bagi memberi ruang kepada PMKS menyesuaikan diri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×