Seimbangkan keperluan kekal pekerja senior, peluang anak muda

Seimbangkan keperluan kekal pekerja senior, peluang anak muda

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil kira keseimbangan antara keperluan mengekalkan pekerja berpengalaman dan membuka ruang pekerjaan kepada golongan muda sekiranya ingin menyemak semula had umur persaraan wajib.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, isu semakan umur persaraan perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia melibatkan kepentingan pelbagai pihak termasuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

Katanya, ramai pekerja senior masih kekal produktif serta memiliki kemahiran tinggi yang sukar digantikan terutama dalam sektor PKS yang bergantung kepada pengalaman praktikal.

“Menaikkan had umur persaraan secara umum boleh menjejaskan peluang pekerjaan baharu, menambah kos operasi dan memberi kesan kepada produktiviti dalam sektor tertentu yang memerlukan tenaga fizikal.

“Ia juga boleh melambatkan proses peremajaan tenaga kerja serta menyukarkan inovasi dalam kalangan syarikat PKS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan kepada negara tua.

Mengulas lanjut, William berkata, pihaknya menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pendekatan lebih fleksibel dalam isu tersebut bagi mengimbangi keperluan tenaga kerja berpengalaman dan pembangunan bakat baharu.

Katanya, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah membenarkan pekerja berusia lebih 60 tahun terus bekerja atas dasar sukarela atau kontrak bergantung kepada jenis industri dan keupayaan individu.

“Apa jua keputusan yang bakal dibuat, penting untuk kerajaan turut mengambil kira suara sektor PKS yang menyumbang lebih 47 peratus kepada guna tenaga negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN