KOTA KINABALU: Pelajar Program Asasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembentukan karakter, integriti dan kemahiran insaniah sebagai persediaan melangkah ke peringkat pengajian lebih tinggi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi berkata, pencapaian akademik semata-mata tidak mencukupi tanpa disertai kemahiran kepimpinan, komunikasi, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah yang penting dalam menghadapi cabaran masa depan.
Beliau berkata kemahiran berkenaan perlu dibangunkan seiring dengan usaha pelajar memperkukuh disiplin, nilai diri dan keupayaan untuk terus belajar serta memperbaiki potensi masing-masing.
“Kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi, justeru jadilah insan yang berakhlak mulia, jujur, amanah, berdisiplin dan mempunyai integriti.
“Universiti bukan sekadar melahirkan graduan yang mempunyai ilmu, tetapi juga melahirkan insan yang mampu memimpin dan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Apresiasi Pelajar Asasi (MAPA) UMS Sesi 2025/2026 di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS. Rossita berkata, pelajar daripada bidang Sains, Teknologi Maklumat, Agrisains dan Sains Sosial masing-masing mempunyai peranan serta kekuatan tersendiri dalam menyumbang kepada kemajuan masyarakat.
Beliau turut menggariskan tiga bekalan utama yang perlu dibawa pelajar dalam meneruskan perjalanan akademik, iaitu ilmu, karakter dan integriti sertakebersamaan dan jaringan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pelajar supaya melihat ilmu yang dipelajari sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi, terutama dalam mendepani keperluan pembangunan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan pelajar tidak seharusnya terhenti selepas menamatkan pengajian, sebaliknya ilmu yang diperoleh perlu dimanfaatkan untuk menyelesaikan masalah, menghasilkan inovasi dan membantu komuniti.
“Dunia sentiasa berubah, dan ilmu juga berkembang dengan begitu pantas.
“Oleh itu, jadilah insan yang sentiasa mahu belajar, meneroka dan memperbaiki diri,” katanya.
Terdahulu, Pengarah PPST, Prof. Madya ChM. Dr. Newati Wid berkata, MAPA dianjurkan khas untuk mengiktiraf dan menghargai kesungguhan, ketabahan serta pencapaian cemerlang para pelajar sepanjang menempuh pengajian di PPST.
Katanya majlis tersebut bukan sahaja meraikan kejayaan dalam aspek akademik, tetapi juga dalam aspek sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah.
Pada majlis itu, pelajar diraikan menerusi pelbagai kategori pengiktirafan, termasuk Anugerah Naib Canselor, Anugerah Pengarah, Anugerah Khas Hal Ehwal Pelajar, Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan, Anugerah Pelajar Harapan, Anugerah Teknologi Maklumat serta AnugerahPurata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Turut disampaikan Sijil Tamat Asasi Pelajar Antarabangsa Timor Leste kepada empat pelajar dari Timor Leste, dan Sijil Penghargaan Perwakilan Pelajar Asasi sesi 2025/2026. – UTUSAN











