PETALING JAYA: Keluarga kepada 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam banjir di Nepal masih mengharapkan keajaiban selagi tiada sebarang pengesahan dibuat.
Malah, ada yang meletakkan tempoh menunggu selama setahun tetapi dalam masa sama bersedia menerima segala kemungkinan.
Dalam masa yang sama, mereka meminta kerajaan memaklumkan tindakan susulan selepas tamatnya penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di sana.
Ini termasuk bagaimana Malaysia akan meneruskan sokongan dan penyelarasan operasi bagi mengesan mereka yang masih hilang.
Seorang ahli keluarga mangsa, Dr. R. Manivannan berkata, ahli keluarganya masih berharap adiknya, R. Komathi selamat dalam bencana alam itu.
Katanya, ahli keluarga tidak akan berputus asa walaupun setiap hari dibelenggu ketidakpastian nasib yang menimpa Komathi.
“Ramai keluarga sedang bergelut dengan kesedihan, namun pada masa sama kami masih perlu meneruskan kehidupan seharian.
“Kami keletihan daripada segi emosi dan fizikal. Namun, kami terus bekerja.
“Anak-anak terus ke sekolah dan tanggungjawab harian tetap perlu dilaksanakan. Keadaan ini merupakan satu bentuk kesedihan yang amat sukar kerana keluarga tidak mempunyai kepastian mengenai nasib orang tersayang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Manivannan dalam pada itu turut menyuarakan kebimbangan berhubung komunikasi kerajaan dengan waris terdekat.
Jelasnya, keluarga sebelum ini diberi jaminan bahawa sekiranya terdapat perkembangan penting, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu melalui saluran Wisma Putra sebelum maklumat berkenaan diumumkan kepada umum.
“Malangnya, perkara sebaliknya telah berlaku berulang kali. Keluarga terpaksa mengetahui perkembangan penting melalui laporan media sebelum menerima maklumat tersebut melalui kumpulan komunikasi rasmi keluarga.
“Keputusan untuk membawa pulang aset SMART merupakan antara contoh yang paling jelas,” katanya.

Menurut Manivannan, bagi keluarga, penamatan penugasan SMART telah secara langsung memberi kesan kepada harapan mereka.
“Untuk mengetahui perkembangan sebesar ini melalui media sebelum ia dimaklumkan secara rasmi kepada waris adalah sesuatu yang amat menyedihkan.
“Kami tidak sepatutnya mengetahui perkembangan mengenai nasib orang yang kami sayangi daripada berita sebelum mendengarnya daripada kerajaan sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa menuntut penjelasan terperinci mengenai operasi yang dilaksanakan SMART bersama pihak berkuasa Nepal khususnya lokasi yang telah diperiksa, kaedah pencarian digunakan, hasil yang diperoleh serta kawasan yang masih belum diterokai.
Menurutnya, maklumat berkenaan penting bagi memastikan tiada kawasan berpotensi yang terlepas daripada perhatian terutama tiga kawasan keutamaan yang dikenal pasti berdasarkan maklumat lokasi terakhir rakyat Malaysia terbabit.
Sementara itu, isteri kepada pegawai latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir, Hani Othman turut masih menanti jawapan mengenai keberadaan suaminya.
Hani yang sudah pulang ke Malaysia selepas ke Kathmandu pada 28 Ogos lalu berkata, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai status suaminya.
“Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana status suami, sudah jumpa atau belum. Mohon bersabar. Saya sendiri setiap hari bertanya kepada Allah bagaimana status suami saya, tetapi sehingga kini masih belum mendapat jawapan,” katanya.
Anak kepada Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd. Sani Harul iaitu Muhammad Firdaus Mohd. Sani, 32, pula berkata, dia sekeluarga masih berharap ayahnya dapat ditemukan semula walaupun sudah hampir tiga minggu tragedi itu berlaku.!
Bagaimanapun, dia sekeluarga bersedia menerima segala kemungkinan termasuk jika mangsa ditemukan dalam keadaan sudah meninggal dunia.
“Keluarga kami sendiri meletakkan tempoh setahun sebagai tempoh menunggu.
“Kami berharap untuk dapat ditemukan semula dengan ayah kami, tetapi kami bersedia untuk semua kemungkinan termasuk jika dijumpai dalam keadaan sudah tiada lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, kepulangan SMART tidak seharusnya dilihat sebagai berakhirnya usaha pencarian ayahnya.
Katanya, pihaknya turut memohon agar Kerajaan Malaysia terus bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa dalam mengambil segala langkah yang munasabah bagi mengesan rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.
Sementara itu, Komander SMART Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB 1) Abdul Manaf Che Isa ketika dihubungi berkata, pasukannya tidak mendengar sebarang berita mengenai penemuan atau apa sahaja kisah berkaitan mangsa yang terdiri daripada rakyat Malaysia termasuk pegawai latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd. Fakhrul Munir.
“Tiada,” katanya ringkas. – UTUSAN










