PETALING JAYA: Timbul persoalan sama ada wajar untuk menaikkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) bagi meningkatkan mutu kehidupan pesawah di negara ini yang kini berhadapan dengan tekanan kos untuk menghasilkan makanan ruji utama.
Felo Penyelidik di Makmal Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Prof. Datin Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, harga BPT wajar untuk dinaikkan bagi membina margin keuntungan yang munasabah.
Menurut beliau, situasi yang terus membawa kepada kerugian dan tidak adil akan memaksa individu tertentu mengambil tindakan drastik termasuk menyorokkan dan mencampurkan beras.
“Harga lantai belian padi adalah RM1,500, harga runcit untuk BPT masih RM2.60 sekilogram. Jadi margin sangat sedikit untuk si pengilang, apabila ini berlaku, ia menggalakkan pihak pengilang membuat tindakan tertentu untuk memaksimumkan keuntungan.
“Petani pula terperangkap di tengah-tengah, mereka hanya boleh jual padi sahaja untuk mendapatkan wang, namun kos pengeluruan sudah meningkat dan harga ditetapkan tidak mencerminkan situasi pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan boleh mewujudkan satu kerangka penstabilan bagi melindungi petani daripada ketidaktentuan pasaran sekali gus mengurangkan turun naik pendapatan golongan berkenaan.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah penubuhan dana penstabilan petani, iaitu pengeluar digalakkan membuat simpanan ketika harga komoditi berada pada paras yang menguntungkan dan menggunakan simpanan tersebut apabila harga merosot.
“Selain itu, kerajaan juga boleh memperkenalkan mekanisme perlindungan kerugian harga iaitu pembayaran akan disalurkan sekiranya purata harga tahunan jatuh di bawah harga rujukan yang ditetapkan kerajaan.
“Sebagai alternatif, bantuan juga boleh diberikan apabila pendapatan bersih ladang merosot di bawah paras tertentu, misalnya 90 peratus daripada penanda aras sejarah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar akses kepada pembiayaan berkos rendah diperluaskan menerusi pinjaman konsesi bagi membantu petani memenuhi keperluan pengeluaran dan mengekalkan aliran tunai.
Katanya, pengurusan stok simpanan yang lebih cekap juga penting bagi menstabilkan harga pasaran melalui pelepasan stok ketika berlaku kekurangan bekalan serta menyerap lebihan pengeluaran apabila bekalan berlebihan.
“Pengalaman di India, China dan Vietnam membuktikan penggunaan teknologi moden mampu memacu pertumbuhan sektor pertanian dengan lebih cekap dan berimpak tinggi.
“Di India misalnya, pelbagai aplikasi digital telah dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan teknikal pada kos yang lebih rendah.
“Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula bersifat neutral terhadap saiz ladang, sekali gus membolehkan manfaatnya dinikmati oleh petani kecil mahupun pengeluar berskala besar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob mengakui bahawa harga BPT perlu diubah selepas 18 tahun terutama apabila harga benih kini melebihi RM52.
Beliau berkata, pesawah turut berhadapan dengan isu potongan kualiti dan potongan padi di peringkat pembelian yang menjejaskan pendapatan mereka.
“Malah, kualiti benih dan bekalan input pertanian yang tidak konsisten turut menjejaskan hasil kami. Ia sudah berlaku lama juga dan sepatutnya kualiti itu semakin baiklah tetapi setakat ni, ia tidak, sebaliknya semakin menurun.
“Ramai pesawah bergantung kepada subsidi untuk menampung kos operasi kerana keuntungan sebenar semakin mengecil. Kenaikan kos operasi sehingga 52 peratus menyebabkan pendapatan petani mengecil di sudut perolehan hasil dan keuntungan,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, beliau bersetuju bahawa kerajaan perlu mengkaji semula harga beras secara menyeluruh berdasarkan realiti kos semasa, bukannya mengekalkan harga yang sudah tidak lagi relevan.
Menurutnya, kini berlaku ketidakseimbangan dalam pasaran sekali gus membuka ruang kepada manipulasi dan eksploitasi, selain harga RM2.60 sekilogram atau RM26 bagi sekampit 10 kilogram juga sukar ditemui di pasaran ketika ini.
Bagaimanapun, katanya, sebarang pelarasan harga perlu dilaksanakan secara berhemah supaya tidak membebankan pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Namun, sekiranya harga beras dikekalkan pada kadar semasa, kerajaan perlu menyediakan mekanisme pampasan yang lebih adil kepada pesawah.
“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mempertingkat atau mengemas kini bantuan menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Perkara paling penting adalah memastikan pesawah menerima pulangan yang munasabah agar mereka mampu meneruskan aktiviti penanaman padi,” katanya.
Tambahnya, harga yang terlalu rendah untuk tempoh yang panjang boleh menjejaskan pengeluaran domestik dan meningkatkan kebergantungan negara terhadap beras import.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menetapkan semakan harga beras secara berkala, misalnya setiap dua tahun atau dalam tempoh jangka pendek, supaya kadar tersebut sentiasa selaras dengan perubahan kos semasa.
“Jangan biarkan harga kekal terlalu lama tanpa semakan. Tempoh sehingga 18 tahun tanpa pelarasan adalah terlalu lama dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN










