Empat tahun terlantar, Ramli masih harap katil boleh laras

Empat tahun terlantar, Ramli masih harap katil boleh laras

MASLAMAH Sani memegang tangan suaminya yang terlantar semasa dikunjungi rombongan Persatuan Sahabat 60-an Jengka Maran di Felda Jengka 5, Maran, Pahang. – UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang peneroka Felda Jengka 5 di sini, yang lumpuh sejak empat tahun lalu mengharapkan bantuan katil Fowler, iaitu katil perubatan boleh laras yang memudahkan urusan penjagaannya.

Ramli Ismail, 71, yang diserang strok masih bergantung kepada katil hospital usang yang dipinjamkan selain meneruskan hidup kepada pendapatan sebanyak RM1,100 sebulan menerusi pinjaman sara hidup Felda selepas kebun mereka menjalani proses tanaman semula.

Isterinya, Maslamah Sani, 70, berkata, kos penjagaan Ramli men­cecah lebih RM2,000 sebu­lan dan keperluan utama suami­nya ketika ini adalah katil Fowler selain susu khas, lampin pakai buang, alas katil dan tisu basah.

Katanya, katil Fowler sangat diperlukan bagi memudahkan proses mengangkat, memandikan, menukar lampin serta memberi makan kepada suaminya yang sudah tidak mampu menggerakkan anggota badan.

“Ramai yang datang dan berjanji hendak membantu menyediakan katil Fowler tetapi sehingga hari ini kami masih menunggu dan menggunakan katil hospital lama yang dipinjamkan.

“Saya masih berharap ada pihak yang dapat menunaikan hasrat itu kerana katil tersebut sangat penting untuk keselesaan suami dan memudahkan urusan penjagaannya,” katanya selepas menerima kunjungan rombongan Persatuan Sahabat 60-an Felda Jengka Maran, di rumahnya di Felda Jengka 5.

Maslamah berkata, Ramli turut memerlukan kira-kira 10 tin susu khas setiap bulan dengan harga melebihi RM120 setin dan perlu diberikan sebanyak enam kali sehari.

Menurutnya, kos susu saha­ja melebihi RM1,200 sebulan manakala selebihnya melibatkan pembelian lampin pakai buang, alas katil, tisu basah, ubat-ubatan dan keperluan penjagaan lain sehingga menjadikan jumlah perbelanjaan mele­bihi RM2,000 sebulan.

Katanya, dia mempunyai lapan anak dan kebanyakannya sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungjawab sendiri sehingga tidak mampu menanggung sepenuhnya kos rawatan bapa mereka.

Katanya, permohonan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini gagal kerana mengambil kira pendapatan anak-anaknya.

‘Setakat ini Ramli menerima bantuan baucar RM400 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bagi membeli susu khas, namun jumlah itu belum mencukupi berbanding keperluan sebenar,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN