MARAN: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Jengka 5 akan berusaha bagi mendapatkan sebuah katil perubatan boleh laras atau Fowler bagi memudahkan urusan penjagaan seorang pesakit strok terlantar, Ramli Ismail, 71.
Setiausaha JPKK Felda Jengka 5, Anwar Abdullah berkata, tindakan itu akan diusahakan menerusi sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat mahupun individu prihatin bagi memastikan kebajikan warga emas berkenaan terus terbela.
Beliau turut menegaskan kebajikan Ramli tidak pernah dipinggirkan, malah pelbagai bantuan sudah disalurkan sejak warga emas itu diserang penyakit berkenaan beberapa tahun lalu.
”Sebaik sahaja Ramli diserang strok, JPKK sudah membantu menyediakan katil untuk kegunaan pesakit selain menghubungkan keluarga itu dengan saluran bantuan yang bersesuaian.
”Ramli juga menerima bantuan bulanan daripada pihak berkaitan termasuk bantuan zakat bagi meringankan beban keluarganya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Anwar berkata, pihak JPKK sudah beberapa kali menziarahi Ramli bersama keluarganya termasuk dua hari lalu bagi melihat sendiri perkembangan kesihatan warga emas itu, di samping membantu menguruskan permohonan bantuan untuk anaknya yang tidak sihat.
Katanya, keluarga berkenaan berdepan kekangan kewangan kerana hanya isteri yang menjadi punca pendapatan selepas Ramli tidak lagi mampu bekerja.
Menurut beliau, kepimpinan di peringkat Maran dan Kuala Sentul juga tidak pernah mengabaikan nasib Ramli dan sentiasa meluangkan masa menziarahi keluarga itu setiap kali Program Ziarah Kasih diadakan di Felda Jengka 5.
Akhbar ini hari ini melaporkan penantian hampir empat tahun Ramli untuk memiliki Fowler tidak tertunai apabila warga emas itu terus bergantung kepada katil hospital usang yang dipinjamkan.
Ramli disahkan mengalami strok akibat pendarahan otak selepas rebah secara tiba-tiba ketika sedang menikmati sarapan di rumah sebelum menjalani pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya.
Isterinya, Maslamah Sani, 70, berkata, keperluan paling utama suaminya ketika ini ialah katil Fowler, selain susu khas Ensure Gold, lampin pakai buang, alas katil dan tisu basah bagi mengurangkan beban penjagaan harian. – UTUSAN










