Halimah meninggal dunia di Madinah, hasrat keluarga bawa pulang tidak kesampaian

Halimah meninggal dunia di Madinah, hasrat keluarga bawa pulang tidak kesampaian

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 6 April.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hasrat keluarga membawa pulang Halimah Ismail,64, yang diserang strok semasa dalam perjalanan mengerjakan umrah di Madinah Februari lalu tidak kesampaian apabila warga emas itu meninggal dunia semalam.

Halimah dilaporkan meninggal dunia di Hospital King Fahad, Madinah, pada pukul 3.34 petang.

Anak ketiganya, Siti Nur Ain Abd Sanief, 31, berkata, ibu sepatutnya dibawa pulang ke tanah air semalam namun perancangan tersebut terpaksa dibatalkan selepas doktor mendapati keadaan kesihatan semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

“Hasrat kami sekeluarga untuk membawa pulang ibu ke Malaysia tidak kesampaian apabila ibu menghembuskan nafas terakhir susulan keadaan kesihatan semakin merosot. Saya tidak dapat nak ungkap macam mana, kami sudah reda bila dapat tahu mak kritikal. 

“Namun, selepas kami semua baca surah Yasin, rasa tenang sebab mak sudah tidak sakit lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 6 April lalu, Utusan Malaysia menyiarkan kisah Halimah apabila warisnya memohon bantuan kewangan bagi membiayai kos ambulans udara untuk membawa warga emas itu pulang ke tanah air selepas diserang strok ketika mengerjakan umrah pada 5 Februari lalu. 

Serentak dengan itu, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi melancarkan tabung kutipan bagi membawa pulang warga emas itu yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM200,000.

Kutipan yang berjaya dikumpul bagi membawa pulang Halimah berjaya mencecah sehingga RM273,000.

Sementara itu, Siti Nur Ain berkata, jenazah ibu telah selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’, Madinah selepas solat Subuh.

“Jumlah keseluruhan kutipan menerusi tabung yang dilancarkan sebelum ini bagi membawa pulang ibu mencecah RM273,000 dan kami akan gunakan wang sumbangan ini untuk menyelesaikan bil hospital terlebih dahulu. 

“Sekiranya terdapat lebihan, kami merancang untuk melaksanakan badal haji serta urusan-urusan lain bermanfaat buat arwah mak,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN