NTIC sasar RM8.5 bilion pelaburan semikonduktor

NTIC sasar RM8.5 bilion pelaburan semikonduktor

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (dua, kanan) menandatangani plak pada Majlis Perasmian Pusat Teknologi dan Inovasi (NTIC) NCER di Taman Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang, semalam. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) menjadi pemacu baharu bagi pembangunan industri semikonduktor bernilai tinggi di wilayah utara dengan sasaran menarik pelaburan baharu berjumlah RM8.5 bilion menjelang 2030.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, sasaran itu akan direalisasikan menerusi pembangunan teknologi pembungkusan termaju atau Advanced Packaging (AP) melalui inisiatif Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC).

Menurut beliau, APIRC me­rupakan langkah strategik bagi memastikan Malaysia tidak terus tertumpu kepada aktiviti pemasangan dan pengujian se­mikonduktor semata-mata, sebaliknya beralih kepada segmen yang lebih kompleks serta bernilai tinggi.

“Melalui APIRC, kita menyasarkan pelaburan baharu sebanyak RM8.5 bilion dan pembangunan 12 syarikat tempatan dalam ekosistem Advanced Packaging menjelang 2030. Ini bukan sekadar angka pelaburan, tetapi usaha untuk memastikan lebih banyak nilai, kepakaran dan peluang ekonomi kekal di Malaysia,” katanya selepas merasmikan NTIC di Bayan Lepas, semalam.

Akmal Nasrullah berkata, Ma­­laysia perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada dalam industri semikonduktor bagi memperkukuh keupayaan da­lam reka bentuk litar bersepadu (IC), reka bentuk sistem, pembungkusan termaju, automasi dan pembangunan peralatan.

Katanya, aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), penghasilan prototaip serta pengkomersialan teknologi juga perlu diperkasakan bagi meningkatkan daya saing negara dalam rantaian bekalan global.

“Pelaburan berkualiti mesti diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti. Justeru, kejayaan NTIC dan APIRC bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan, tetapi melalui bakat tempatan yang dibangunkan, gaji yang meningkat dan syarikat tempatan yang mampu naik ke rantai­an nilai lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, Malaysia sedang meneroka sumber bekalan minyak mentah baharu bagi memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara.

Beliau berkata, proses mengenal pasti sumber baharu sememangnya sedang berjalan, tetapi perlu mengambil kira ketersediaan fasiliti tempatan untuk memproses bekalan yang diperoleh.

“Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) proses melihat sumber baharu itu memang berlaku dan antara wilayah yang kita sedang lihat untuk bekalan minyak mentah termasuk dari benua Afrika, Russia, Turkiye, Amerika Selatan, Amerika Syarikat (AS) serta Singapura (bagi bekalan minyak bertapis).

“Namun, ia turut bergantung kepada ketersediaan fa­si­liti kita untuk memproses bekalan berkenaan kerana se­tiap minyak mentah yang da­tang dari kawasan berbeza mempunyai karakter yang berbeza,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN