STB terus dominasi, kekal kejuaraan bola sepak MSSPs tiga tahun berturut-turut - Utusan Malaysia

STB terus dominasi, kekal kejuaraan bola sepak MSSPs tiga tahun berturut-turut

PARA pemain STB yang berjaya mempertahankan kejuaraan tiga tahun berturut-turut kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2026 bergambar bersama guru dan ahli keluarga di padang UiTM Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/ IZHAR SHAH HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sekolah Tengku Budriah (STB) mengekalkan dominasi dalam sukan bola sepak apabila muncul juara kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2026 yang berlangsung di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau di sini hari ini.

Kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Sekolah Kebangsaan (SK) Santan menyaksikan STB dibimbing Mohd. Shahabuddin Kadir,45, berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

Perlawanan tersebut berlarutan sehingga penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 0-0 sehingga berakhir perlawanan.

STB cukup sinonim melahirkan ramai pemain pelapis berbakat besar turut cemerlang apabila pemainnya, Nik Muhammad Rayyan Mohd Shahabuddin,12, dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir manakala Muhammad Aufa Dani Muhammad Hairee,12, sekali lagi dipilih sebagai penjaga gol terbaik selain kapten pasukan, Mohamad Risqi Noor Irwan,12, sebagai penjaring terbanyak dengan sembilan jaringan.

PASUKAN bola sepak Sekolah Tengku Budriah (STB) terus kekal dominasi apabila berjaya mempertahankan kejuaraan tiga tahun berturut-turut kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2026 di padang UiTM Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZHAR SHAH HASSAN

Dalam aksi peringkat kumpulan, STB berjaya menewaskan SK Batu Bertangkup 1-0 dan seri 1-1 menentang SK Paya yang menyaksikan mereka lolos ke pusingan kalah mati.

Pusingan kedua menyaksikan STB membelasah Sekolah Agama Al Islahiyah (rendah) dengan jaringan 4-0 dan terus cemerlang membenam SK Titi Tinggi 3-0 pada pusingan ketiga.

Penguasaan STB terlalu sukar dibendung apabila menewaskan SK Kuala Perlis 3-1 di peringkat suku akhir dan separuh akhir menewaskan SK Guar Nangka 1-0 sebelum muncul juara menewaskan SK Santan.

Mohd. Shahabuddin berkata, para pemain mempamerkan aksi yang cukup baik dan mentaliti untuk menang sepanjang kejohanan berkenaan sehingga muncul juara.

Katanya, kejayaan tersebut merealisikan impian STB untuk mempertahankan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut.

Guru Besar, Nor Zaiton Ibrahim pula mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak STB atas kejayaan cemerlang mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut.

“Kejayaan luar biasa ini membuktikan semangat juang, disiplin dan kerja berpasukan yang hebat. Terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama sekolah dengan penuh bergaya,” katanya.

Kejohanan bola sepak bawah 12 tahun MSSPs 2026 berlangsung selama empat hari dari 11 sehingga 14 Mei membabitkan 56 pasukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN