Zohran tangguh penutupan penjara kontroversi Rikers Island hingga 2032

Zohran tangguh penutupan penjara kontroversi Rikers Island hingga 2032

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani mengumumkan pelan untuk menutup kompleks penjara Rikers Island yang terkenal dengan pelbagai masalah menjelang 2032, iaitu lima tahun lewat daripada sasaran asal.

Penjara yang dibuka pada 1932 itu terletak di Sungai East dan sekian lama dikritik berikutan keadaan tidak bersih serta keganasan yang berlaku di dalamnya. Antara individu terkenal yang pernah menjadi penghuninya termasuk Tupac Shakur, Mike Tyson, Sid Vicious dan Harvey Weinstein.

“Selama beberapa dekad, penduduk New York menuntut sistem pemulihan yang selamat dan berperikemanusiaan.”

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mempunyai kewajipan dari segi undang-undang dan moral untuk menutup Rikers,” kata Zohran dalam satu kenyataan, susulan aduan berpanjangan mengenai kekurangan kakitangan, penggunaan dadah secara meluas serta pintu dan tingkap sel yang rosak.

Rikers terletak di antara daerah Bronx dan Queens, dan kebanyakannya menempatkan individu yang sedang menunggu perbicaraan di New York serta belum disabitkan dengan sebarang kesalahan.

Bekas Datuk Bandar, Bill de Blasio sebelum ini berjanji menutup Rikers Island menjelang Ogos 2027. Namun, kurang setahun sebelum tarikh akhir itu, pembinaan empat penjara lebih kecil yang dirancang bagi menggantikannya masih belum selesai.

Pentadbiran Zohran yang memegang jawatan pada tahun ini, serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalahkan kelewatan itu kepada pandemik Covid-19 dan kegagalan mengambil tindakan oleh bekas Datuk Bandar, Eric Adams, seorang anggota Parti Demokrat yang berkhidmat dari 2022 hingga 2025.

“Gesaan supaya Rikers ditutup telah bergema di seluruh bandar ini selama beberapa dekad. Usaha untuk melaksanakannya pernah dimulakan, kemudian dihentikan sebelum dimulakan semula. Apa yang membezakan usaha kali ini ialah komitmen kami untuk memastikan ia diselesaikan,” kata Zohran kepada pemberita.

Penjara baharu akan dibina di empat daerah di New York, masing-masing di Manhattan, Brooklyn, Queens dan Bronx bagi memudahkan akses ke mahkamah, peguam serta keluarga tahanan.

Menurut pelan yang diumumkan pada Jumaat, penjara pertama yang dijadualkan beroperasi ialah kemudahan di Brooklyn pada 2029.

Pihak berkuasa menyasarkan pengurangan jumlah tahanan menerusi langkah mengurangkan penahanan sementara menunggu perbicaraan serta kelewatan penyelesaian kes.

Sebahagian daripada 22 peratus penghuni penjara yang didiagnosis mengalami masalah kesihatan mental serius, bersama tahanan lain yang memerlukan penjagaan kesihatan kompleks, akan dipindahkan ke ratusan katil baharu di kemudahan perubatan.

Bandar raya itu juga akan melabur AS$146 juta (RM600 juta) pada tahun kewangan akan datang bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental, rawatan penyalahgunaan bahan, program pendidikan dan latihan vokasional serta perkhidmatan untuk mangsa.

Kesemua langkah itu dijangka mengurangkan jumlah tahanan daripada 6,600 kepada kira-kira 4,000 orang.

Gesaan pertama supaya Rikers ditutup bermula sejak 1960-an, susulan bahaya yang dihadapi penghuni penjara dan pegawai penjara. Ahli politik serta masyarakat mula memberi sokongan lebih meluas terhadap usaha itu pada 2010-an, sebahagiannya hasil kempen bersungguh-sungguh oleh keluarga tahanan dan bekas penghuni penjara.

Pertubuhan Vera Institute of Justice, yang menyokong penutupan Rikers, merekodkan 48 kematian di penjara New York City dari 2022 hingga 2025.

Selepas penjara itu ditutup, kerajaan bandar raya merancang menjadikan Rikers Island sebagai tapak loji rawatan air sisa dan kemudahan tenaga boleh baharu.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini