SEREMBAN: Polis setakat ini belum menerima laporan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung dakwaan surat peletakan jawatannya diserahkan kepada pihak istana tanpa pengetahuan dan persetujuannya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
“Setakat ini daripada MB (Menteri Besar) tidak ada lagi sehingga sekarang,” katanya.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung dakwaan surat peletakan jawatan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh yang dibuat seorang lelaki berusia 65 tahun di Balai Polis Chow Kit dekat sini, kira-kira pukul 9.55 pagi tadi.
Jelasnya, pengadu berkenaan membuat laporan berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi laporan media dan beberapa kenyataan berkaitan isu berkenaan.
Ismail sebelum ini dilaporkan beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan berhubung surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban, semalam.
Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
Bagaimanapun, istana pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang dihantar pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan.-UTUSAN











