NEW YORK: Calon muda berhaluan sosialis, Zohran Mamdani ,33, memenangi pemilihan utama Parti Demokrat untuk jawatan Datuk Bandar New York menewaskan bekas Gabenor New York, Andrew Cuomo.
Memperoleh 95 peratus undi, Mamdani mendahului dengan 43 peratus, mengatasi Cuomo.
Kemenangan itu turut diraikan tokoh-tokoh progresif ternama seperti Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez, yang menyifatkan kemenangan berkenaan membuktikan suara rakyat tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun.
Keputusan rasmi hanya akan diumumkan minggu depan berikutan sistem pengundian pilihan berperingkat di New York, yang membenarkan pengundi memilih sehingga lima calon mengikut keutamaan.
Namun, kelebihan undi Mamdani dalam keputusan awal terlalu besar untuk ditewaskan oleh Cuomo atau mana-mana calon lain.
Dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India, Mamdani bakal menjadi Datuk Bandar Muslim pertama dalam sejarah bandar New York.
Beliau turut dikenali kerana kelantangnya menyokong rakyat Palestin.
Malah, menjelang pemilihan utama parti Demokrat Selasa lalu, menyaksikan perhatian media dan pencabarnya lebih tertumpu kepada pendiriannya berhubung konflik Israel-Palestin.
Mamdani adalah penyokong tegar hak rakyat Palestin, yang lantang mengkritik kekejaman Israel dan mengulangi penilaian kumpulan hak asasi yang menyifatkan serangan Israel ke atas Gaza sebagai satu bentuk genosid.
Beliau tidak berganjak daripada pendirian itu dan tetap menang, menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo yang menerima sokongan institusi politik lebih besar dan perbelanjaan kempen yang mencatat rekod.
Penyokong Mamdani menyifatkan kemenangan itu sebagai detik penting dalam landskap politik Amerika Syarikat (AS) yang membuktikan sokongan terhadap dasar progresif dan hak Palestin boleh membawa kejayaan dalam pilihan raya.
Jurucakap kumpulan progresif Justice Democrats, Usamah Andrabi, berkata, kemenangan Mamdani adalah satu sejarah.
Mamdani kini mendahului Cuomo lebih tujuh mata peratusan dengan hampir semua undi telah dikira, sekaligus hampir pasti memperoleh pencalonan rasmi.
Kedudukannya dijangka semakin kukuh apabila kiraan seterusnya dijalankan mengikut sistem pengundian pilihan berperingkat di bandar berkenaan.










