KUALA KANGSAR: Polis menafikan kehilangan seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun sebuah sekolah berasrama penuh di sini tidak mempunyai kaitan dengan kes kematian di sekolah sama pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya semalam pada pukul 6.07 petang telah menerima aduan seorang perempuan berkenaan kehilangan anaknya, seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah berasrama penuh di sini.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Usaha bagi mengesan pelajar tersebut giat dijalankan polis dengan bantuan anjing pengesan (K9), sekolah dan keluarga.
“Pada pukul 10 malam, hasil maklumat yang disalurkan orang awam, pelajar tersebut telah berjaya ditemui polis di Taiping sebelum diserahkan kepada Ibu bapa dalam keadaan baik serta selamat,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kehilangan pelajar tersebut tidak mempunyai kaitan secara langsung atau tidak langsung berhubung kes kematian melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berasrama penuh yang sama pada Rabu lalu.
Heisham berharap, orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan terperinci polis.
Media melaporkan pada Rabu lalu, seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar ditemukan meninggal dunia dalam kawasan sekolah itu.
Berdasarkan rakaman televisyen llitar tertutup (CCTV), mangsa meninggal dunia sekitar jam 10.35 pagi di tandas sebuah bangunan sekolah berkenaan sebelum disedari seorang pelajar kira-kira pukul 2.45 petang.-UTUSAN











