PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal berikutan perpecahan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dipercayai akan memberi kelebihan kepada mereka.
Bendahari Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, partinya mengalu-alukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU16.
Beliau berkata, Pas sudah bersedia untuk memasuki medan tersebut kerana suasana politik pada hari ini sudah tidak lagi memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) termasuk keadaan ekonomi negara.
“Pas sudah bersedia, kami mengalu-alukan PRU16 diadakan awal kerana suasana politik dan ekonomi hari ini tidak lagi memihak kepada PH dan BN, perpecahan mereka sudah dijangka serta menunggu masa sahaja.
“Ia bukan masalah untuk PN mengambil peluang tetapi adalah menjadi tidak balas semula jadi rakyat untuk menolak PH-BN apabila melihat ketegangan yang berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Iskandar berkata, PN tidak perlu mengambil peluang terhadap apa yang berlaku ke atas kerajaan pada hari ini kerana rakyat nampak dan bijak menilai.
“Mereka dapat melihat sendiri apa yang berlaku di hadapan mata mereka. Tidak perlu sesiapa untuk menerangkan kepada mereka. Mereka dengan sendiri akan menolak PH-BN,” katanya.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz pula berkata, partinya sudah mula bergerak dalam mod pilihan raya dan mengatur jentera.
“Bersatu sudah mula bergerak dalam mod pilihan raya. Selepas elemen-elemen toksik tiada dan meniadakan diri, Bersatu semakin kukuh dan teratur.
“Persiapan jentera sedang dilaksanakan dan perlu dipercepatkan lagi jika PRU dilaksanakan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata, ramai menjangkakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar akan mengadakan PRU16 lebih awal atas pelbagai faktor
Katanya, kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dan kewangan negara, krisis kos sara hidup serta kebajikan rakyat merupakan antara faktor.
“UMNO dan DAP sedar rakyat dan penyokong mereka marah dengan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini, disebabkan itu mereka menjarakkankan diri dan kononnya mahu bertanding secara solo.
“UMNO dan DAP takut dikaitkan dengan kegagalan kerajaan kerana mereka sedar mereka adalah sebahagian daripada kerajaan yang gagal ini,” katanya. – UTUSAN










