Peguam gesa kawalan penjualan arak, elak pemandu mabuk

Peguam gesa kawalan penjualan arak, elak pemandu mabuk

PENGHARAMAN arak secara total atau sekurang-kurangnya kawalan lebih ketat terhadap penjualannya perlu diambil dalam usaha menangani pelbagai masalah sosial termasuk isu pemandu mabuk yang mengancam keselamatan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengharaman arak secara total atau sekurang-kurangnya kawalan lebih ketat terhadap penjualannya perlu diambil dalam usaha menangani pelbagai masalah sosial termasuk isu pemandu mabuk yang mengancam keselamatan awam.

Peguam, Nik Saiful Adli Burhan berkata, perbincangan menyeluruh perlu dimulakan kerana minuman keras menjadi antara punca utama kepada pelbagai masalah sosial lain termasuk kemalangan jalan raya.

Katanya, kesan negatif pe­ngambilan arak bukan sahaja dilihat dari sudut agama Islam, malah turut diakui pelbagai agama dan budaya lain sebagai penyumbang kepada keruntuhan moral serta ancaman terhadap keselamatan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isu ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar menghukum selepas berlakunya tragedi, tetapi mencegah sebelum ia berlaku.

“Kita boleh mengambil iktibar daripada kejayaan kerajaan dalam mendidik masyarakat menjauhi rokok melalui pengehadan zon merokok yang ketat, sekatan drastik terhadap kaedah jualan dan promosi dan normalisasi gaya hidup tanpa rokok,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Jabatan Siasatan dan Pe­nguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mendedahkan berdasarkan statistik pada tahun 2025, sebanyak 31 kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh alkohol, manakala sejumlah 27 kes pula direkodkan pada tahun sebelumnya.

Nik Saiful Adli yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan berkata, langkah kawalan lebih tegas seperti sekatan jualan, pengurangan lokasi pe­nawaran serta pemantauan ketat perlu dipertimbangkan sebagai pendekatan jangka panjang.

Katanya, keselamatan nya­wa rakyat perlu menjadi keutamaan berbanding kepen­tingan lain termasuk faktor ekonomi atau kebebasan individu.

“Kita perlu berani membuat perubahan dasar demi melindungi masyarakat daripada risiko yang lebih besar,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pemandu mabuk yang dipercayai me­rempuh seorang penunggang motosikal sehingga meninggal dunia direman selama empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat yang menetapkan tempoh reman berkuatkuasa sehingga Khamis ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini