‘Mereka teruja mandi sungai sebelum pulang beraya’

‘Mereka teruja mandi sungai sebelum pulang beraya’

ANGGOTA Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mengusung jenazah Muhammad Amir Ashraf Mohd. Zul-Zunaidi yang ditemukan kira-kira pukul 3.45 petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: “Sebaik sahaja kami sampai di sungai, mereka kelihatan sangat teruja kerana hajat mandi sungai tercapai. Mereka ajak kami ke sini kerana akan pulang ke Kelantan untuk beraya esok (hari ini).”

Demikian kata Muhammad Afi Naashif Adli Noone,15, salah seorang mangsa yang selamat daripada dibawa arus deras ketika sedang mangsa bersama tiga lagi rakannya di Sungai Beril, Paka, di sini semalam.

Seorang lagi yang selamat dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu ialah Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, 14.

Mayat rakan mereka, Muhammad Amir Ashraf Mohd. Zul-Zunaidi, 15, ditemukan kira-kira pukul 3.45 petang semalam oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ketika melakukan selaman manakala usaha mencari adiknya, Muhammad Aidil Amsyar, 14, masih diteruskan setakat pukul 6.45 petang semalam.

Mayat Muhammad Amir Ashraf ditemukan di kedalaman 5.1 meter di dasar sungai iaitu kira-kira tujuh meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

Menurut Muhammad Afi Naashif, dia dan Muhammad Farish Iqbal sudah cuba menyelamatkan kedua-dua beradik itu namun gagal.

Katanya, sebelum kejadian, mereka yang tinggal di Kampung Kolam di sini, mandi di sungai tersebut kira-kira pukul 10.50 pagi.

Bagaimanapun, katanya, hanya kira-kira lima minit mereka berempat mandi di sungai tersebut, air sungai mulai pasang dan kedua-dua beradik itu dilihat terkapai-kapai meminta bantuan.

“Saya cuba menyelamatkan Muhammad Amir Ashraf manakala Muhammad Farish Iqbal bergegas cuba menyelamatkan Muhammad Aidil Amsyar.

“Ketika Muhammad Farish Iqbal cuba menyelamatkan Muhammad Aidil Amsyar, secara tiba-tiba Muhammad Aidil Amsyar panik menyebabkan Muhammad Farish Iqbal turut tenggelam, namun dia dapat menimbulkan diri dan berenang ke tepi sungai untuk mengambil kayu.

“Muhammad Aidil Amsyar kemudian menghampiri saya yang sedang memegang abangnya. Apabilila Muhammad Aidil Amsar berpaut pada abangnya, genggaman saya terlepas dan kedua-dua beradik itu kemudiannya hanyut dibawa arus,” katanya di lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN