PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti kriteria kumpulan berpendapatan tinggi iaitu T5, T10, T15 dan T20 khususnya berkaitan garis pemisah pendapatan, sebelum pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dapat diperincikan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, cadangan itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) susulan pengumuman Perdana Menteri mengenai keperluan menyasarkan semula subsidi.
Menurut beliau, antara cabaran utama yang sedang diperhalusi adalah menentukan garis pemisah pendapatan yang sesuai bagi membezakan golongan layak menerima subsidi dan mereka yang wajar dikeluarkan daripada sistem berkenaan.
“Itu antara intipati perbincangan yang sedang dilakukan bagi menentukan di manakah garis pemisah antara mereka yang sewajarnya menerima subsidi dan mereka yang mungkin lebih sesuai dikeluarkan daripada sistem berkenaan.
“Kita mahu memastikan penyasaran subsidi dapat dilaksanakan dengan adil, tetapi pada masa sama tidak menjejaskan kumpulan yang masih memerlukan bantuan atau belum bersedia untuk beralih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tawaran Di Bawah Kerjasama Strategik Di Antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited di sini semalam.
Kata Akmal Nasrullah, selain pendapatan, beberapa faktor lain turut dipertimbangkan dalam menentukan kategori T15 termasuk data sedia ada yang boleh dijadikan rujukan oleh kerajaan.
“Apabila pendekatan ini dilaksanakan, kita juga akan menyediakan ruang untuk rayuan bagi memastikan proses tersebut lebih adil. Bila garis pemisah itu lebih jelas, ia akan memudahkan penerimaan dalam kalangan kumpulan sasaran,” katanya.
Menurutnya, pendirian Kementerian Ekonomi kekal konsisten bahawa bantuan kerajaan perlu disalurkan secara bersasar agar manfaatnya benar-benar dinikmati oleh kumpulan yang layak.
“Jika subsidi tidak diurus dengan cermat, ia boleh memberi implikasi yang ingin kita elakkan.
“Kita perlu mengimbangi keperluan melindungi rakyat, mengawal inflasi dan memastikan pembangunan ekonomi negara terus berjalan supaya semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.
Tambah beliau, perincian pelaksanaan subsidi bersasar itu dijangka dapat dimuktamadkan sebelum bermulanya bulan hadapan apabila ia mula dilaksanakan namun perkara tersebut masih di peringkat perbincangan.
“Kalau pandangan saya, sebaiknya kita boleh memuktamadkan sebelum bermulanya bulan yang baharu. Saya jangkakan apabila dilaksanakan nanti, kemungkinan besar ia akan bermula pada awal bulan. Namun, perkara ini masih di peringkat perbincangan,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan subsidi petrol untuk golongan berpendapatan tinggi bagi membantu negara mengharungi keadaan ekonomi semasa.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan pemotongan subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi itu perlu dilaksanakan dengan segera dan secara berfasa.
Buat permulaan, katanya, ia boleh melibatkan jawatan menteri, ahli Parlimen, Exco kerajaan negeri sehingga individu berjawatan penting termasuk Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A sehingga JUSA C.
Selain itu, pemotongan subsidi petrol RON95 untuk pekerja sektor swasta dan kerajaan pula perlu bermula dengan individu bergaji antara RM10,000 sehingga RM12,000 sebulan dan ke atas di kawasan bandar.
Tambahnya, bagi pekerja sektor swasta di negeri tertentu yang mempunyai kos sara hidup rendah, pemotongan boleh dilaksanakan bagi individu yang bergaji RM8,000 sebulan.
Katanya, kedua-dua pelaksanaan tersebut sebagai langkah segera membantu mengurangkan perbelanjaan subsidi pada masa kini dan mengharungi keadaan ekonomi semasa.
“Ini bermakna setiap individu berpendapatan RM12,000 bersih dan bekerja di bandar seperti Kuala Lumpur, Johor atau Pulau Pinang, automatik dipotong subsidi.
“Namun, dalam satu situasi pula katakanlah individu ‘A’ yang tinggal di Perlis bergaji RM8,000 dan dikenakan potongan subsidi, apabila dia bekerja di Putrajaya sebagai contoh, dia boleh mengemukakan permohonan agar pemberian subsidi disambung semula,” katanya.
Sementara itu kata Barjoyai, langkah potongan itu juga boleh dilaksanakan sama ada secara keseluruhan atau bermula dengan potongan subsidi 50 peratus terlebih dahulu.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan disaran memberikan tempoh peralihan selama enam bulan kepada golongan T20 dengan mengekalkan subsidi sebanyak 50 peratus terlebih dahulu.
“Melalui cadangan berkenaan, harga petrol RON95 bagi kumpulan terbabit hanya meningkat kepada sekitar RM2.70 seliter sebelum diselaraskan kepada RM3.35 seliter selepas tamat tempoh enam bulan tersebut.-UTUSAN.











