ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) paling berjaya apabila dapat menjalinkan kolaborasi bersama lebih 300 pemain industri.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sehingga kini, terdapat lebih 300 industri telah bekerjasama dengan Unimap antaranya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mereka.
Beliau berkata, kerjasama terjalin itu membolehkan pemain industri bersama-sama dengan Unimap membangunkan kurikulum bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Seperti yang dapat kita saksikan, dalam industri yang berkaitan dengan elektronik dan semi konduktor, kita ada makmal-makmal yang mempunyai kemudahan terkini bagi memastikan keperluan industri itu dapat kita berikan dengan sebaiknya.
“Jadi secara ringkasnya, kita telah berjaya menunjukkan kerjasama yang baik di antara industri dengan universiti, dan inilah antara satu langkah ke hadapan dalam usaha universiti membangunkan kurikulum itu bersama dengan industri,” katanya selepas Majlis Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi ke Unimap, Pauh Putra, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Zambry turut berkesempatan merasmikan bangunan tetap Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta melancarkan Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) Unimap.
Sebagai rekod, bangunan tetap PKU di Kampus Alam Pauh Putra telah siap dibina sepenuhnya pada 17 Ogos 2024 dengan kos pembangunan sebanyak RM12,336,476.00 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), melibatkan keluasan tapak 3.4 hektar.
Manakala FKC yang dilancarkan pula merupakan gabungan Jabatan Komputer dan Jabatan Matematik yang disatukan bagi memperkukuh bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi berteraskan komputeran cerdas.
FKC kini menawarkan lapan program akademik merangkumi peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dengan kekuatan dalam bidang Kejuruteraan Komputer, Sains Data, Reka Bentuk Sistem Terbenam serta Matematik.
Zambry berkata, peranan MTUN adalah dengan memberi pengkhususan dalam bidang-bidang teknikal tinggi selain membantu usaha kerajaan l membawa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita menggabungkan semua usaha ini dan universiti MTUN ini akan memainkan peranan penting ke arah mencapai matlamat itu,” katanya.-UTUSAN










