Unimap tersenarai kelompok 201–300 Dunia THE Sustainability Impact Rankings 2026 - Utusan Malaysia

Unimap tersenarai kelompok 201–300 Dunia THE Sustainability Impact Rankings 2026

ZALIMAN Sauli beramah mesra bersama pelajar baharu Diploma yang mendaftar masuk ke sesi Sidang Akademik 2026/2027 di kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) terus mengukuhkan kedudukan di persada antarabangsa apabila berjaya tersenarai dalam kelompok 201–300 terbaik dunia menerusi Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Rankings 2026.

Menerusi pencapaian tersebut, Unimap turut berada dalam kelompok lapan universiti terbaik di negara ini secara keseluruhan dalam penarafan THE Sustainability Impact Rankings 2026.

Pencapaian ini juga sekali gus membuktikan komitmen universiti dalam memacu agenda kelestarian sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan(Sustainable Development Goals – SDGs) PertubuhanBangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam masa sama, Unimap turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berada dalam kelompok empat terbaik di Malaysia bagi SDG 8: Decent Work and Economic Growth serta SDG 17: Partnerships for the Goals sekali gus turut tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia bagi kedua-dua SDG tersebut.

Naib Canselor Unimap, Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, pengiktirafan tersebut merupakan hasil komitmen dan kerjasama seluruh warga universiti serta rakan strategik dalam memperkasakan budaya kelestarian di semua peringkat.

“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Unimap dalam mengintegrasikan elemen kelestarian menerusi pendidikan, penyelidikan, inovasi, pemindahan ilmu, penglibatan komuniti serta tadbir urus institusi yang mampan,” katanya di sini, hari ini.

Sebagai rekod, THE Sustainability Impact Ratings merupakan penarafan antarabangsa yang mengukur prestasi universiti berdasarkan sumbangan dan impaknya terhadap pencapaian SDGs melalui pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penglibatan komuniti serta pengurusan institusi.

Zaliman berkata, kedudukan Unimap turut menjadi pemangkin buat institusi pengajian itu untuk terus memperkukuh usaha kelestarian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Pencapaian ini juga menjadi bukti Unimap bukan sahaja memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut komited dalam menyumbang kepada penyelesaian isu-isu global melalui pelaksanaan inisiatif yang menyokong SDGs,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan ini adalah selaras dengan aspirasi Unimap untuk terus memperkukuh reputasi sebagai universiti teknikal berdaya saing di peringkat global, di samping menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara melalui inovasi serta penyelesaian yang mampan.

“Unimap akan terus memperhebatkan pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan agenda kelestarian kekal menjadi teras pembangunan universiti demi kesejahteraan generasi masa hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN