ARAU: Mega Familia Unimap 2026 yang diadakan bersempena meraikan sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berlangsung meriah di sekitar kampus Alam Unimap di sini semalam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor universiti itu berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran majlis tersebut.
Turut berangkat ialah waris kedua negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta puteri baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Naib Canselor Unimap, Datuk Dr. Zaliman Sauli serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Penganjuran Mega Familia Unimap 2026 menjadi platform penyatuan seluruh warga universiti dengan menghimpunkan kakitangan bersama ahli keluarga masing-masing.
Ia sekali gus mengukuhkan semangat kekeluargaan, kebersamaan dan silaturahim yang menjadi tunjang kepada kecemerlangan institusi.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian monumen Jubli Perak Unimap 2001–2026 di pekarangan perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan dan pencapaian universiti sepanjang suku abad penubuhannya.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang program bagi memeriahkan sambutan, antaranya ‘Bubble Walk’ yang disertai sama oleh baginda berdua, jualan makanan dan minuman menerusi reruai karnival, permainan interaktif serta sukaneka keluarga, rumah melompat untuk kanak-kanak dan juga cabutan bertuah.
Mega Familia Unimap 2026 bukan sahaja menjadi medan meraikan ulang tahun penubuhan universiti, malah mencerminkan komitmen Unimap dalam membudayakan nilai kekeluargaan, kebajikan dan kesejahteraan warga kampus selaras dengan aspirasi universiti untuk terus melahirkan modal insan berkualiti serta memperkukuh hubungan erat dalam komuniti universiti.-UTUSAN










