MINGGU ini merupakan minggu yang penuh suka dan duka kepada semua ibu bapa untuk menghantar anak-anak menjejak kaki ke menara gading.
Bagi anak-anak yang diterima memasuki alam universiti pula ia merupakan satu titik permulaan yang penting dalam perjalanan bagi membina kerjaya kelak.
Peralihan budaya dari gerbang persekolahan ke alam kampus bukan sekadar melibatkan perubahan lokasi atau suasana pembelajaran, namun turut menuntut anjakan minda, sikap dan cara penyesuaian diri dengan budaya kampus yang lebih mencabar, umpama peribahasa “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.
Budaya kampus universiti merangkumi pelbagai aspek melibatkan kaedah pembelajaran, interaksi sosial, penggunaan teknologi, sehinggakan kepada pengurusan masa dan juga tatacara berpakaian.
Ia adalah satu ekosistem yang membentuk mahasiswa bukan sahaja sebagai pelajar, tetapi juga sebagai pemimpin generasi masa hadapan yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Berdasarkan statistik daripada Kajian Penyesuaian Mahasiswa Baharu (2023) yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati bahawa hampir 64 peratus mahasiswa baharu mengalami kesukaran menyesuaikan diri pada tiga bulan pertama memasuki universiti, khususnya dalam aspek pengurusan masa, tekanan akademik dan hubungan sosial.
Menurut Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid, “Universiti bukan sekadar tempat menuntut ilmu, tetapi medan latihan kehidupan sebenar.
Di sinilah pelajar belajar bukan hanya untuk lulus peperiksaan, tetapi lulus sebagai manusia yang mampu memimpin masa depan.”
Kenyataan ini turut menggambarkan betapa pentingnya budaya kampus dalam mencorak keperibadian seorang mahasiswa. Justeru, mahasiswa baharu perlu cepat memahami peranan mereka sebagai pelajar yang berdikari.
Mereka tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pensyarah atau pihak universiti dalam setiap urusan.
Mereka perlu belajar mengurus masa dengan baik, hadir kuliah secara konsisten, menyiapkan tugasan tepat pada masanya dan bijak mengimbangi pelajaran serta kehidupan peribadi, termasuk menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan bersukan.
Dalam konteks pembelajaran pula, suasana kuliah menuntut mahasiswa untuk sentiasa bersifat aktif dan berfikiran kritis.
Pensyarah berperanan sebagai pemudah cara sahaja dan mahasiswa dituntut untuk sentiasa bertanya, menyelidik serta mengembangkan idea secara terbuka.
Oleh itu, kemampuan menyesuaikan diri dengan gaya pembelajaran baharu ini amat penting terutamanya dalam pembentukan ‘otak dan watak’ dalam usaha melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, seterusnya menjadikan sebuah masyarakat Malaysia Madani yang berkualiti.
Penglibatan dalam aktiviti pelajar seperti kelab, persatuan dan kesukarelawanan juga antara elemen yang penting dalam budaya kampus yang tidak harus dipandang enteng.
Berdasarkan dapatan daripada satu kajian oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (2022), sebanyak 72 peratus majikan lebih cenderung memilih graduan yang aktif dalam aktiviti pelajar kerana memiliki kemahiran insaniah yang lebih tinggi. Ini membuktikan bahawa keseimbangan antara akademik dan ko-kurikulum memainkan peranan dalam pembentukan graduan berkualiti.
Budaya hormat menghormati, menjaga adab dan toleransi antara kaum, agama dan budaya di kampus wajar diberi perhatian.
Malaysia sebagai negara berbilang bangsa mencerminkan realiti sebenar masyarakat dan kampus menjadi tempat awal mahasiswa belajar tentang keharmonian dan perpaduan.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) amat menitikberatkan juara perpaduan. Dahulu pernah tular empat orang pelajar UniMAP yang terdiri daripada pelajar Cina dan India sedang melindungi dan memayungi tiga rakan mereka bersolat berjemaah dari terkena hujan tersebar dalam satu siri kem kepimpinan mahasiswa.
Ini jelas menunjukkan bahawa semangat perpaduan serta menghormati antara kaum menjadi tunjung utama dalam pembangunan sahsiah pelajar di UniMAP.
Seperti kata tokoh ilmuwan Islam, Imam Al-Ghazali:”Ilmu tanpa adab, ibarat api tanpa cahaya.” Maka, budaya ilmu di kampus perlu digandingkan dengan nilai akhlak dan sahsiah yang tinggi.
Kecemerlangan mahasiswa di UniMAP turut ditunjangi oleh Tujuh Teras Utama Kemenjadian Mahasiswa iaitu ‘Kampus Mesra Mahasiswa Yang Kondusif dan Lestari Bagi Kesejahteraan Mahasiswa’, ‘Pemerkasaan Mahasiswa, Pembangunan Mahasiswa dan Jaringan Antarabangsa serta Industri’, dan ‘Keterjaminan Kebajikan Mahasiswa’.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bahawa semua teras ini haruslah bermatlamatkan untuk memanusiakan manusia melalui kemenjadian mahasiswa melibatkan penekanan terhadap kesejahteraan, perkembangan, dan potensi mahasiswa sebagai individu yang bernilai dalam pendidikan tinggi. Teras inilah sebenarnya yang perlu dipupuk dan menjadi budaya buat semua mahasiswa baharu yang akan menjadi keluarga besar UniMAP.
Keperluan sistem sokongan amat penting dalam kalangan pelajar baharu. Pemerkasaan sistem mentor dalam kalangan pelajar senior untuk membantu mahasiswa baharu amat penting dalam usaha untuk menyesuaikan diri di dalam kampus.
Program seperti buddy system atau mentor-mentee membantu mengurangkan rasa terasing dan meningkatkan sokongan emosi serta menjadi pembimbing dalam pembelajaran.
Segelintir mahasiswa ada yang memilih untuk tidak bergiat aktif di kampus, sebaliknya menghabiskan kebanyakan masa di kuliah, di katil dan di kafe.
Inilah yang dinamakan budaya 3K (kuliah, katil dan kafe). Malangnya budaya itu dilihat kian membarah dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sehingga mendapat perhatian KPT.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, masalah 3K yang melanda sebahagian mahasiswa itu menyebabkan mereka lupa tujuan datang ke menara gading dan mahasiswa hari ini ‘selesa’ kerana semua benda boleh diperoleh dengan mudah dan menganggap kuliah sudah cukup untuk membentuk jati diri.
Namun, semua ini bergantung pada sikap, apabila sudah berasa selesa dan tiada persaingan, kebanyakannya akan memilih untuk berbuat demikian, iaitu balik sahaja dari kuliah, berlama-lama di kafe sambil bersembang serta lebih suka berehat-rehat di katil.
Menyesuaikan diri dengan budaya kampus bukan sesuatu yang mudah dan boleh berlaku dalam sehari dua sahaja.
Namun ia merupakan satu proses yang memerlukan masa, kesabaran dan sokongan yang berterusan baik dari keluarga, sahabat handai mahupun pihak universiti.
Mahasiswa baharu harus sentiasa proaktif mencari ruang penyesuaian dan terbuka menerima pengalaman baharu.
Seperti kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”, cabaran hari ini bakal membentuk kematangan untuk hari esok.
Dengan sokongan holistik daripada pihak universiti dan usaha mahasiswa itu sendiri, sudah pasti mereka mampu melalui transisi ini dengan jayanya, seterusnya menjadi generasi Madani yang memiliki nilai intelek yang cemerlang dari segi ilmu, sahsiah dan kemahiran. – UTUSAN
MUHAMAD Azuan Mohamad Nasir ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).











