KUANTAN: Seramai 1,000 guru menjadi perintis program Association of Chatered Certified Accountants (ACCA) melalui insisatif daripada institusi pendidikan perakaunan terkemuka, Tymba Education Group (Tymba) dan juga ACCA.
Ketua Pegawai Eksekutif Tymba, Airil Razali berkata, menerusi program yang bermula bulan ini itu, guru-guru terbabit akan menerima Diploma in Finance Management and Accounting yang dianugerahkan oleh ACCA.
“Program ini sudah bermula melibatkan kumpulan guru di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor dan kita jangkakan 1,000 guru ini akan menamatkan pengajian September ini.
“Ini kali pertama di dunia dan sebab Malaysia ini negara ketiga paling ramai ACCA sebenarnya di dunia, yang pertama China, kedua Pakistan dan kita ketiga paling ramai.
“Sebab itu kita cadangkan kepada ACCA global kita buat pilot projek melalui Malaysia, jadi kalau Malaysia berjaya dia akan jadi seluruh Asia,” katanya pada Hari Terbuka Sekolah Antarabangsa Kuantan (ISK) di sini hari ini.
Airil berkata, pelaksanaan program melibatkan guru subjek Prinsip Akaun, Perniagaan dan Ekonomi itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan peringkat awal melibatkan 30 guru di Pahang.
Katanya, melalui program inisiatif Tymba dan ACCA itu akan membolehkannya mendapat tajaan penuh dan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, program itu selaras pelan tindakan yang dibuat kerajaan Madani di bawah Kementerian Pendidikan yang baru dilancarkan sebelum ini bertujuan menggalakkan kerjasama antara industri dan pihak kerajaan.
Jelasnya, apabila selesai program ini guru-guru berkenaan akan berada di bawah ekosistem pendidikan ACCA dan berpeluang dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran berterusan (CPD).
“Kalau cikgu-cikgu perlukan apa-apa dari segi industri, jaringan itu sudah ada rapat kerja dengan cikgu sebab dia akan jadi duta antara industri dengan pelajar,” ujarnya. – UTUSAN










