PETALING JAYA: Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran satu jenayah dan pelanggaran terhadap kedaulatan negara, bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pakar Undang-Undang Antarabangsa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr. Salawati Mat Basir berkata, tindakan tersebut melanggar Artikel 4(1) dan 51(2) Piagam PBB serta dianggap sebagai serangan tidak sah yang mencabuli hak asasi manusia dan kedaulatan sesebuah negara.
Katanya, tindakan AS dan Israel jelas menunjukkan sebagai satu bentuk pencabulan yang bertujuan memperkukuhkan pengaruh kuasa mereka di Asia Barat.
“Tindakan AS itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan ia pernah melakukan perkara sama ketika serangan ke atas Iraq pada tahun 2003.
“Serangan ini jelas satu pencabulan hak asasi manusia dan kedaulatan negara yang bertentangan dengan prinsip undang-undang antarabangsa di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, dakwaan bahawa serangan tersebut dilakukan atas alasan mempertahankan diri juga tidak berasas sama sekali kerana Iran dikatakan tidak menunjukkan ancaman atau ugutan yang jelas sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 51 Piagam PBB.
“Selain itu, Iran juga dilihat mematuhi kehendak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkaitan isu program nuklear negara tersebut.
“Serangan yang menyasarkan kawasan awam dan infrastruktur adalah satu jenayah perang sehingga kematian orang awam termasuk kanak-kanak.
“Malah, ia dilihat mempunyai persamaan dengan serangan yang pernah dilakukan ke atas Afghanistan dan Iraq sebelum ini, namun situasi tersebut kurang mendapat perhatian meluas kerana ketiadaan media sosial seperti hari ini,” katanya.
Salawati berkata, kegagalan PBB mengambil tindakan tegas terhadap konflik yang berlarutan hampir dua minggu membuktikan peranan Majlis Keselamatan yang turut dianggotai AS dan sekutunya, boneka semata-mata.
Jelas beliau, situasi tersebut juga dilihat menunjukkan kecenderungan sesetengah kuasa besar untuk meminggirkan peranan PBB dan mengukuhkan sistem kuasa unilateral dalam menentukan hala tuju dunia.
“Ini kerana kuasa sebenar organisasi itu banyak bergantung kepada Majlis Keselamatan PBB yang turut dianggotai oleh AS.
“Keadaan itu menyebabkan sebarang usaha atau mesyuarat berkaitan isu berkenaan berpotensi berdepan kuasa veto oleh AS, sekali gus menyukarkan tindakan diambil
“Malah, negara lain takut dan tidak mahu campur tangan kerana bimbang konflik itu boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara masing-masing,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menggesa negara-negara anggota PBB dan juga di bawah Majlis Keselamatan bersuara dalam serangan dilakukan AS dan Israel terhadap Iran.
“Konflik tersebut dilihat sebagai gambaran bahawa undang-undang antarabangsa lebih mudah dilaksanakan terhadap negara kecil berbanding kuasa besar.
“Ia sekali gus membuktikan bahawa kuasa besar mampu bertindak tanpa menghormati peranan PBB kerana negara lain tidak mempunyai kekuatan ketenteraan seperti AS untuk menentang tindakan mereka,” katanya.
Media melaporkan AS dan Israel terus melancarkan serangan untuk menghancurkan Iran dengan jet-jet pejuangnya menyerang lima kemudahan minyak berhampiran Teheran sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa setakat kelmarin. – UTUSAN










