WASHINGTON: Seorang anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mengemukakan rang undang-undang (RUU) bagi membubarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), memansuhkan Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) serta Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP).
RUU itu turut mencadangkan penubuhan Jabatan Keselamatan Komuniti sebagai agensi persekutuan baharu yang memberi tumpuan kepada keselamatan awam dan hak sivil.
Wakil Demokrat, Delia Ramirez, berkata cadangan Akta Keselamatan Mencipta Semula itu bertujuan menggantikan DHS, yang ditubuhkan selepas serangan 11 September 2001, dengan agensi berteraskan komuniti.
“DHS ditubuhkan susulan trauma besar yang melanda negara ini, dengan tujuan melanggar hak kita atas alasan kononnya untuk menjamin keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, agensi baharu itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan masyarakat, perlindungan hak sivil dan bantuan secara langsung kepada keluarga pekerja.
Di bawah RUU itu, kuasa undang-undang yang menjadi asas penubuhan DHS akan dimansuhkan, manakala peruntukan persekutuan akan disalurkan semula kepada inisiatif di peringkat komuniti.
Cadangan itu turut merangkumi larangan ketat terhadap pengawasan kerajaan, penggunaan data peribadi secara menyalahi undang-undang serta penguatkuasaan sempadan yang menggunakan pendekatan ketenteraan.
Di bawah cadangan undang-undang itu, beberapa agensi persekutuan sedia ada akan terus beroperasi, termasuk Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA), Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) serta fungsi teras pentadbiran kastam.
Bagaimanapun, ICE dan CBP akan dibubarkan sepenuhnya.
Rang undang-undang itu turut mencadangkan penubuhan sistem imigresen sivil khusus yang berasingan daripada struktur penguatkuasaan undang-undang jenayah dan ketenteraan.- AGENSI











