Baju raya naik harga tema klasik kekal popular

Baju raya naik harga tema klasik kekal popular

AMELIN ASRI (kanan) dan HAKIMAH ZAKIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahun ini menyaksikan tema klasik dan abadi (timeless) terus menjadi pilihan ramai kerana tampil elegan, eksklusif dan mudah digayakan pada pagi Syawal mahupon ke majlis rumah terbuka meskipun berlaku peningkatan harga baju raya.

Situasi itu bagaimanapun tidak menghalang orang ramai terus berbelanja bagi memastikan mereka kelihatan bergaya malah ada yang memperuntukkan bajet lebih tinggi demi mendapatkan rekaan yang terkini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas jenama Tujoh Kuntom, Amelin Asri berkata, memang ada sedikit perubahan berbanding tahun lepas kerana koleksi tahun ini menggunakan material yang dinaik taraf selain kenaikan harga fabrik di pasaran.

“Harga baju tahun ini meningkat kira-kira 27 peratus berbanding tahun lepas dengan purata harga baju kami sekitar RM300 berbanding tahun ini sekitar RM380.

“Kebanyakan material yang digunakan merupakan tempahan khas termasuk cotton embroidery, kain bercetak yang dihasilkan sendiri serta perincian hiasan seperti sulaman, manik dan sequin.

“Ada yang viral dalam Threads mengatakan baju jenama kami mahal namun ramai yang bersetuju dan memahami mengapa harga kami ditetapkan agak tinggi berbanding jenama lain,” katanya.

Pengasas Jenama LAWANA, Hakimah Zakir pula berkata, dia masih mengekalkan harga sama seperti tahun lepas supaya pelanggan masih boleh mendapatkan pakaian yang berkualiti dengan rekaan yang cantik.

“Bukan semata-mata untuk menjimatkan kos, kami berusaha mengawal kos bagi menghasilkan baju yang minimalis, menawan dan bergaya bertepatan dengan visi syarikat menghasilkan baju yang berharga mampu milik,” katanya.

Pekerja swasta, Anis Farwizah Mazlan berkata, walaupun terdapat peningkatan harga baju pembeli masih boleh membuat perbandingan dengan menumpukan kepada keselesaan, kualiti kain serta rekaan agar nilai wang yang dibelanjakan berbaloi.

“Memang harga baju raya tinggi tahun ini, jadi sebagai pembeli perlu bijak dalam memilih dan membandingkan harga kerana ada sahaja yang murah tetapi rekaanya masih menarik dan selesa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×