Pakej sewa rumah bot naik harga

Pakej sewa rumah bot naik harga

PENGUSAHA rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu terpaksa menaikkan harga pakej perkhidmatan bagi menampung peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel yang mendadak ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, dekat sini terpaksa menaikkan harga pakej perkhidmatan bagi menampung peningkatan kos operasi susulan kenaikan harga diesel.

Mereka menyifatkan kenaikan harga diesel kepada RM5.52 seliter bukan sahaja mengejutkan malah memberi tekanan besar kepada pengusaha yang bergantung sepenuhnya kepada bahan bakar tersebut untuk operasi harian.

Pengerusi Persatuan Rumah Bot Tasik Kenyir, Sulong Mustafa berkata, kos bahan api yang menjadi ‘nadi’ operasi dijangka meningkat sehingga 60 peratus susulan kenaikan harga diesel daripada RM4.72 kepada RM5.52 seliter.

Karanya, sebuah rumah bot memerlukan antara 200 hingga 400 liter diesel bagi satu perjalanan, bergantung kepada jarak dan tempoh pakej.

Katanya, ketika ini terdapat sebanyak 73 buah rumah bot yang beroperasi di Tasik Kenyir.

“Kebanyakan pengusaha sudah menetapkan harga pakej lebih awal dengan pelanggan sebelum kenaikan ini. Jadi, kami terpaksa meneruskan tempahan walaupun keuntungan adalah sedikit.

“Bukan soal keuntungan semata-mata, setiap pengusaha juga perlu memperuntukkan kos penyelenggaraan sekitar RM200 bagi setiap trip. Jika sebulan ada beberapa trip, kos boleh mencecah RM800 hanya untuk penyelenggaraan asas. Sekiranya berlaku kerosakan, kosnya jauh lebih tinggi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sulong berkata, kos penyelenggaraan rumah bot tinggi kerana ia dilengkapi pelbagai kemudahan seperti generator, pam elektrik, enjin fiber dan peralatan lain.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula keputusan kenaikan harga diesel kerana ia memberi kesan langsung kepada pengusaha pelancongan serta rantaian perkhidmatan lain.

“Pengusaha kini tiada pilihan selain menyesuaikan harga pakej mengikut kos bahan api semasa dengan kenaikan antara 10 hingga 30 peratus bergantung kepada pasaran,” katanya.

Sementara itu, pengusaha Rumah Bot Tiasara, Zalina Mamat Don berkata, pihaknya terpaksa memperkenal mekanisme harga fleksibel berikutan ketidaktentuan harga minyak ketika ini.

“Sebagai contoh, sebelum ini pakej tiga hari dua malam ditawarkan sekitar RM1,000, namun kini meningkat kepada kira-kira RM1,600.

“Kami menggunakan konsep harga apungan minyak. Jika tiada kenaikan pada minggu tertentu, harga kekal seperti biasa. Tetapi jika harga minyak naik, kami terpaksa menambah kos kepada pelanggan,” katanya.

Menurut Zalina, kadar harga turut bergantung kepada destinasi serta tempoh perjalanan dengan kenaikan sekitar RM100 hingga RM300 bagi satu malam.

Konflik di Asia Barat yang berlarutan sejak penghujung Februari 2026 menyebabkan lonjakan harga minyak mentah global.

Berikutan itu, kerajaan menyelaraskan harga bahan api di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026, dengan diesel meningkat 80 sen kepada RM5.52 seliter manakala RON97 naik 60 sen kepada RM5.15 seliter.

RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.87 seliter, manakala RON95 bersubsidi (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter. Diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula tidak berubah pada RM2.15 seliter. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN